FINAS nak siasat syarikat e-dagang terkenal


Dua filem yang ditayangkan di Astro First iaitu Keluarga Iskandar The Movie dan Ada Apa Dengan Dosa (AADD) dicetak rompak dan dijual di platform e-dagang.

Susulan itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) kini giat membuat siasatan berhubung perkara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada pihak e-dagang dan mereka yang menjual filem cetak rompak di platform itu. 

"Kami akan menyiasat dua pihak iaitu pihak e-dagang dan mereka yang menjual filem itu. Siasatan kami untuk memastikan sama ada mereka ini mempunyai lesen pengedaran dan adakah sudah mendapat kebenaran pihak penerbit untuk menjual filem terbabit.

"Berdasarkan laporan diterima, mereka (pihak e-dagang itu) tidak mendapat kebenaran daripada penerbit untuk menjual filem itu," katanya.

Menerusi kenyataan sama, Ahmad Idham berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada pihak e-dagang berkenaan sama ada mereka mengetahui bahawa produk yang dijual itu asli atau tidak.

"Kita nak tahu sama ada pihak e-dagang ini, sama ada mereka tahu atau tidak bahawa produk yang dijual itu setengahnya adalah produk cetak rompak.

"Jadi, FINAS rasa tercabar apabila mereka secara terbuka menjual filem cetak rompak itu," katanya. - HARIAN METRO
Powered by Blogger.