12 hospital KKM, MKA siap sedia kesan jangkitan coronavirus


Sebanyak 12 hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Makmal Kesihatan Awam (MKA) seluruh negara dipertingkatkan dengan kapasiti membuat ujian masa sebenar RT-PCR 2019-nCoV’ bagi mengesan novel coronavirus 2019 (2019-nCoV) sejak 30 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 12 hospital Kementerian Kesihatan (KKM) dan lima Makmal Kesihatan Awam (MKA) menerima latihan pengesanan coronavirus daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Beliau berkata, makmal terbabit memulakan persediaan menghadapi kemungkinan penularan coronavirus ke Malaysia pada 3 Januari lalu yang mana reagen mengesan wabak menggunakan kaedah konvensional RT-PCR disediakan.

“Pada peringkat awal, Unit Virologi, Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan adalah satu-satunya makmal terbabit secara langsung dalam menjalankan ujian diagnostik mengesan 2019-nCoV di Malaysia.

“Pada 30 Januari lalu, IMR menjalankan latihan ujian masa sebenar RT-PCR 2019-nCoV untuk 12 hospital KKM dan MKAK Sungai Buloh, MKA Ipoh, MKA Kota Kinabalu, MKA Kota Bharu dan MKA Johor Bahru supaya kapasiti membuat ujian masa sebenar RT-PCR 2019nCoV dipertingkat di seluruh negara.

“Kapasiti ini diperluaskan bagi rangkaian makmal swasta melalui latihan berkaitan yang diadakan oleh pihak MKAK Sungai Buloh pada 6 Februari 2020,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Turut dikongsi senarai 12 makmal hospital KKM yang menerima latihan pengesanan coronavirus daripada IMR.

Ia membabitkan Hospital Sungai Buloh, Hospital Umum Sarawak, Hospital Tuanku Afzan, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Pulau Pinang, Hospital Tuanku Jaafar, Hospital Melaka, Hospital Sultanah Aminah, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Raja Nur Zahirah, Hospital Raja Perempuan II dan Hospital Sultanah Bahiyah.

Dr Noor Hisham mengucapkan tahniah kepada semua petugas di IMR, MKA dan makmal hospital atas komitmen tinggi serta bertungkus-lumus tanpa mengira masa dalam menghadapi jangkitan coronavirus di negara ini.

“Pada setiap hari (termasuk cuti umum), staf dalam panggilan (on call) bersedia menerima sampel dari hospital seawal jam 7 pagi dan akan meneruskan ujian supaya keputusan dapat dikeluarkan dalam masa 24 jam.

“Kebanyakan keputusan ujian berjaya disiapkan lebih awal dari 24 jam. Staf hanya dibenarkan menjalankan ujian selepas menjalankan ujian kompetensi dan dilatih cara pemakaian alat pelindung diri (PPE) dengan betul. Secara ringkas, staf akan menerima sampel dan merekodkan penerimaan sampel dalam buku log.

“Syabas dan tahniah kepada semua petugas di sebalik tabir di IMR, semua MKA dan makmal hospital yang bertungkus-lumus siang malam dalam menghadapi kejadian jangkitan 2019-nCoV ini.

“Anda adalah wira yang tidak didendang yang melaksanakan tugas walaupun sering tidak jelas di mata masyarakat demi memastikan kesihatan awam dan keselamatan negara terpelihara,” katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.