Bekas pengurus kilang maut kemalangan selepas disyaki lakukan khianat


Seorang bekas pengurus kilang maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar, di sini, selepas disyaki menceroboh dan melakukan khianat di kilang itu, semalam.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata pihaknya menerima laporan awam pada jam 7.30 malam tadi mengenai kejadian sebuah kereta Honda Civic menceroboh kawasan kilang itu.



Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta berkenaan disyaki dipandu oleh lelaki berusia 52 tahun yang baru diberhentikan kerja itu.


"Suspek disyaki memandu kereta dan terus merempuh ke dalam bahagian fasa satu kilang itu yang terletak kira-kira 500 meter dari pintu utama premis berkenaan.


"Selepas memberhentikan kenderaan, suspek didakwa membaling botol petrol ke pejabat sumber manusia di dalam kilang itu," katanya ketika dihubungi, di sini.


A Asmadi berkata, suspek kemudian didakwa menaiki kereta semula sebelum memecut dan merempuh sebuah bilik di dalam kilang itu sehingga menyebabkan kebakaran.


"Bagaimanapun, kebakaran itu berjaya dipadamkan dan tiada kecederaan pekerja kilang dilaporkan.


"Kerugian dialami pihak kilang akibat kejadian itu dianggarkan kira-kira RM1 juta," katanya.


Beliau berkata, suspek dipercayai tidak membawa sebarang senjata dan dikata meninggalkan kawasan kilang itu dengan berjalan keluar melalui pintu utama.


Berdasarkan hasil siasatan awal, katanya, suspek dipercayai tidak berpuas hati susulan masalah berkaitan hal pekerjaan.


Namun, beliau berkata, suspek kemudian dilaporkan maut dipercayai dilanggar sebuah treler di Jalan Kuala Kangsar, jam 7.45 malam tadi.


"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 427/448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - BERITA HARIAN

Powered by Blogger.