Dua filem BoBoiBoy ditayang di Turki


Produk animasi popular tempatan BoBoiBoy bakal menjengah pawagam di Turki bermula bulan depan dengan penayangan dua filem pecah panggung iaitu BoBoiBoy: The Movie dan BoBoiBoy Movie 2.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios (MONSTA), Nizam Abdul Razak mengakui teruja dengan kerjasama pihak pengedar di negara itu selain melihat peluang jangka masa panjang penayangan siri animasi itu di sana.

"MONSTA bakal bekerjasama dengan pengedar tempatan di sana iaitu CJ Entertainment Turki dan Two Productions untuk penayangan dua filem paling berjaya kami ini. Peluang terbabit sememangnya satu kejayaan besar buat produk animasi tempatan kita.

"Tidak terhenti di situ, MONSTA juga kini dalam perbincangan dengan pihak pengedar di sana untuk menayangkan kesemua 76 episod siri BoBoiBoy serta BoBoiBoy Galaxy di kaca TV Turki.

"Siri berkenaan akan dialih bahasa sepenuhnya ke dalam bahasa Turki bagi memudahkan penonton mereka faham. Kami berharap penonton di sana turut dapat mendalami watak superhero kegemaran mereka dengan lebih rapat lagi," katanya.

Pencapaian jenama BoBoiBoy di seluruh dunia sememangnya tidak asing lagi apabila berjaya membanggakan Malaysia di pelbagai acara. Sehingga sekarang, animasi itu sudah memiliki pengikut di lebih 70 negara.

Ia merangkumi negara tetangga di Asia Tenggara, India, Timur Tengah, dan Afrika Utara. Justeru, MONSTA berharap dapat meneroka serta mengembangkan lagi jenama terbabit ke negara terdekat Turki dengan jalinan kerjasama terbaru itu.
Powered by Blogger.