Bakal calon PRK Rantau semak awal borang pencalonan - SPR
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan bakal calon yang berhasrat bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau supaya membuat semakan awal borang pencalonan masing-masing.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun, berkata semakan boleh dibuat di Pejabat Pegawai Pengurus iaitu di bilik gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sembilan sebelum hari penamaan calon.
“Tujuan semakan awal ini adalah untuk memastikan semua bakal calon mengisi borang dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan bagi mengelak berlaku kesilapan pengisian borang pada hari penamaan calon.
“Langkah ini dapat menjamin proses pada hari penamaan calon berjalan lancar dan mengikut tempoh masa ditetapkan.
“Ia juga dapat memberi peluang kepada parti yang calonnya didapati tidak layak ketika semakan awal untuk membuat persiapan sewajarnya sebelum hari penamaan calon,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu beliau menegaskan, kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak hendaklah dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadang kepada Pegawai Pengurus pada hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon , Sabtu ini.
“Selain itu, bakal calon juga turut digesa untuk membuat pembayaran deposit (deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen) lebih awal.
“Bakal calon juga diminta untuk mengambil pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran deposit dibuat bagi tujuan kebenaran memasuki Pusat Penamaan Calon.
“Ini untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berjalan lancar pada hari penamaan calon,” katanya.
PRK DUN Rantau akan diadakan pada 13 April ini, manakala hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini. - Berita Harian
Post a Comment