Lelaki ditahan disyaki hempas anak ke lantai


Seorang lelaki ditahan, kelmarin, kerana disyaki menghempas anak perempuannya yang berusia tujuh tahun ke lantai rumah mereka, di sini, Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan, berkata dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, mangsa mengalami luka di dahi sebelah kiri dan bengkak di kepala selepas terkena bucu meja makan.

Beliau berkata, insiden disedari isteri suspek berusia 40 tahun yang juga ibu kanak-kanak itu apabila terdengar lelaki berkenaan memarahi mangsa disusuli suara jeritan dan tangisan.

"Suspek mendakwa mangsa telah mengetuk kepalanya ketika sedang menikmati makan malam sehingga menyebabkan lelaki itu marah.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan mangsa yang meminta minuman di atas meja. Suspek kemudian disyaki mengangkat lalu menghempas mangsa ke lantai sebanyak satu kali.

"Sejurus kejadian, suspek yang berusia 37 tahun melarikan diri tetapi berjaya diberkas di rumahnya kira-kira jam 12 tengah hari Isnin lalu.

"Hasil semakan mendapati suspek yang juga penganggur, baru dibebaskan dari penjara kira-kira dua minggu lalu, dan memiliki lima rekod membabitkan kes dadah serta dua rekod jenayah," katanya ketika dihubungi, semalam.

Susulan insiden itu, beliau berkata, ibu mangsa membawa kanak-kanak terbabit ke klinik, namun dinasihatkan supaya ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Powered by Blogger.