Padah lakukan aksi bahaya ala Superman


Tindakan berani sembilan penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya ala Superman di kawasan lebuh raya mengundang padah apabila mereka ditahan polis, semalam.

Kesemua mereka berusia antara 17 hingga 19 tahun itu dikatakan, melakukan aksi berbahaya itu di sepanjang Kilometer 79.5 hingga 74.0 Lebuhraya Utara Selatan di kawasan Kuala Muda sekitar jam 5.15 petang.

Mereka dipercayai sedang berkonvoi dari arah selatan menghala ke utara, sempena cuti hujung minggu.

Dalam Ops Samseng Jalanan itu, operasi dilakukan di sekitar Alor Setar, Pendang dan Kuala Muda yang bermula jam 3 petang semalam.

Operasi diketuai Inspektor Isalihin Boyahmin bersama tujuh anggota dari Skuad 42 Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Ketua JSPT Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim, berkata tindakan kumpulan penunggang motosikal itu membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain kerana menunggang secara zig zag dengan menundukkan badan di kawasan lebuh raya.

Beliau berkata, kesemua mereka yang berasal dari Alor Setar, Kulim dan Pulau Pinang itu dipercayai menunggang motosikal jenis Yamaha Y15, Yamaha LC 1ditahan polis untuk membantu siasatan.

"Selain itu, sebanyak 18 saman turut dikeluarkan kerana kesalahan tidak mempunyai pelekat P (2), mengubah suai motosikal (8), cermin sisi (7) dan tiada nombor pendaftaran (1).

"Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya mengawasi anak mereka dan tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat yang boleh menjejaskan masa depan mereka. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.