COVID-19: Sembilan kes positif libatkan enam penularan dalam negara


Sebanyak sembilan kes baharu positif COVID-19 melibatkan enam kes penularan dalam negara dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 8,840 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan virus itu 143 kes.

"Daripada enam kes penularan dalam negara, empat kes adalah dalam kalangan warga Malaysia manakala dua kes melibatkan bukan warganegara," katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Jelasnya, empat kes penularan dalam negara yang membabitkan warga tempatan itu dikesan di Sarawak melibatkan masing-masing satu kes daripada Kluster Stutong, Kluster Sentosa, Kluster Kejuruteraan Kuching manakala satu lagi kes masih dalam siasatan.

"Kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara pula dikesan di Sabah melalui saringan sebelum dibebaskan dari penjara dan satu kes di Kelantan iaitu saringan tahanan di penjara sebelum dipindahkan ke Depot Tahanan Imigresen (DTI)," katanya.

Menurutnya, daripada sembilan kes baharu dilaporkan, tiga adalah kes import melibatkan satu warga tempatan dan dua bukan warganegara yang mempunyai keluarga menetap di Malaysia atau dibenarkan masuk kerana urusan kerja.

"Tiga kes import tersebut adalah dari Singapura, India dan Filipina," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 123 kes.

Beliau turut memaklumkan sebanyak lapan kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh adalah 8,574 kes atau 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sehingga kini, hanya lima kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Dua kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

-- BERNAMA 
Powered by Blogger.