Kelab, sekretariat Rukun Negara dijenamakan semula


Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memperkasakan penghayatan prinsip Rukun Negara menerusi penjenamaan semula kelab Rukun Negara di sekolah rendah dan menengah serta sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi. 

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata modul kelab Rukun Negara dan sekretariat Rukun Negara juga perlu dinilai semula supaya ia bersesuaian dengan senario semasa.

Beliau berkata kelab Rukun Negara juga perlu melibatkan semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan tidak hanya tertumpu di sekolah kebangsaan.

Beliau berkata KPN, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi sudah memulakan perbincangan bagi memastikan prinsip Rukun Negara dimuatkan dalam pendidikan negara.

Halimah berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KPN dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, bagi fokus kerjasama dalam penyediaan empat dokumen.

Ia berkaitan penyediaan Indeks Perpaduan Nasional, penambahbaikan Pelan Tindakan Perpaduan Negara, pelaksanaan pendidikan Rukun Negara berteraskan Rukun Perpaduan dan pemerkasaan Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional. 

-- BERNAMA
Powered by Blogger.