COVID-19: Masyarakat leka mungkin sebabkan peningkatan kes harian, wujud kluster baharu - KP Kesihatan


Trend kenaikan kes harian dan kewujudan beberapa kluster baharu besar kemungkinan disebabkan kelekaan serta ketidakpatuhan orang ramai terhadap arahan mahupun nasihat kerajaan dalam menangani COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejak kebelakangan ini, tular di media sosial gambar beberapa individu yang diletakkan di bawah Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (Home Surveillance Order), namun didapati berada di tempat awam.

Katanya analisis data terkini yang diperoleh melalui aplikasi MySejahtera menunjukkan dari 7 Julai hingga 20 Julai lepas, 24.8 peratus daripada jumlah individu yang diletakkan di bawah Home Surveillance Order (HSO) tidak menggunakan fungsi Home Assessment Tool.

"Fungsi Home Assessment Tool ini merupakan satu ciri bagi individu menjalani penilaian kendiri yang perlu dilakukan setiap hari selama tempoh kuarantin di rumah iaitu selama 14 hari.

"Setakat ini, bilangan pengembara yang pulang dari luar negara iaitu Person Under Surveillance (pesakit di bawah pengawasan) yang dikehendaki menjalani HSO adalah seramai 31,674 orang dan jumlah yang sudah tamat tempoh kuarantin adalah 18,416 orang," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19, hari ini.

Namun, kata Dr Noor Hisham daripada jumlah tersebut, 10 peratus didapati tidak menjalani saringan COVID-19 pada hari ke-13 dan begitu juga dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata jika diperhatikan, kini lebih ramai masyarakat makan di restoran, membeli-belah di pasar raya serta kembali bekerja di pejabat dan analisis data melalui aplikasi MySejahtera menunjukkan jumlah pengguna berdaftar dengan aplikasi itu didapati terus meningkat dalam tempoh tiga minggu lepas. 

Bagaimanapun, jumlah daftar masuk di premis seperti kedai makan dan pasar raya sebaliknya didapati menunjukkan trend penurunan.

"Ini menunjukkan bahawa pematuhan terhadap SOP kian berkurangan. Pemilik premis-premis dan masyarakat umum diingatkan untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan agar kita dapat sama-sama memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di dalam masyarakat.

"Masyarakat kini perlu memainkan peranan sosial yang lebih utama dalam memerangi pandemik COVID-19. Patuhilah SOP yang disediakan," katanya dan turut mengingatkan masyarakat agar melaporkan kepada pihak berkuasa berhubung sebarang aktiviti yang melanggar SOP.

Dr Noor Hisham berkata Malaysia mencatat kes harian COVID-19 yang terendah semasa gelombang kedua pandemik COVID-19 tiga minggu lepas iaitu pada 1 Julai, dengan hanya satu kes dicatatkan.

Kes penularan tempatan mencapai angka sifar untuk beberapa hari tetapi kes baharu harian didapati kembali meningkat akhir-akhir ini dan ada kalanya mencapai dua angka.

Sejak 1 Julai, KKM melaporkan 15 kluster baharu jangkitan COVID-19.

Menyambut baik keputusan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di dalam pengangkutan awam dan tempat  awam yang sesak mulai 1 Ogos, Dr Noor Hisham mengulangi nasihat supaya orang ramai memakai alat itu dengan kaedah yang betul.

Jelasnya, untuk pelitup separuh muka bukan perubatan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan jenis fabrik atau kain dengan tiga lapisan iaitu lapisan paling dalam bersifat menyerap air, lapisan paling luar diperbuat daripada bahan bersifat menghindar penyerapan air dan lapisan tengah hidrofobik yang diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik.

"Selain itu, pelitup separuh muka perlu dipakai dengan betul dan menutupi ruang hidung sehingga dagu,” katanya sambil memberi amaran, pemakaian tidak sempurna membawa risiko pencemaran atau jangkitan kepada pemakai.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.