PM Muhyiddin minta rakyat berada di rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat Malaysia supaya berada di rumah masing-masing selama tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Tegas beliau, dengan cara itu rakyat akan terhindar daripada jangkitan COVID-19 dan penularannya dapat dibendung. 

"Saya ingin merayu kepada saudara saudari. Tolonglah. Stay put where you are. Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Yang ada di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang. 

"Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini sahaja," katanya menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan, malam ini.

Perdana Menteri pada Isnin, mengisytiharkan Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan seruannya itu berikutan ramai yang pulang ke kampung semalam, sehingga lebuh raya dan stesen bas sesak, sedangkan ia bukan tujuan sebenar perintah kawalan itu dilaksanakan.

“Selama tempoh dua minggu ini, saudara saudari dan anak-anak hanya perlu berada di rumah. Just stay at home. Luangkan masa bersama anak, isteri dan ahli keluarga. Tidak perlu keluar ke mana-mana.

“Tujuannya bukan untuk membolehkan saudara saudari balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasar raya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan. Bukan. Tujuannya ialah supaya saudara saudari duduk di rumah. Stay at home and protect yourself and your family (Duduklah di rumah, lindungilah diri sendiri dan keluarga),” katanya.

Muhyiddin, bagaimanapun berkata orang ramai masih boleh ke pasar awam dan kedai makan yang dibuka untuk mendapatkan keperluan harian, namun perlu mengamalkan penjagaan kesihatan rapi dan mengelak bersentuhan dengan menjarakkan diri daripada orang lain dan sentiasa membersihkan diri.

Perdana Menteri turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan tempoh perintah kawalan itu untuk melepak di restoran, kopitiam, pusat hiburan atau mana-mana tempat yang boleh mendedahkan diri kepada jangkitan wabak COVID-19.

Selain itu, Muhyiddin meminta agar perhimpunan melibatkan ramai orang seperti kenduri kahwin dibatal atau ditangguhkan.

“Jadi, kepada ibu bapa pengantin saya minta tolong sangat-sangat batalkan kenduri. Akad nikah boleh dibuat, tetapi majlis kenduri jangan buat dulu. Tangguhkanlah. Apabila keadaan telah bertambah baik, buatlah kenduri untuk anak kesayangan.

“Saya fikir anak tuan-tuan dan saudara-mara yang dijemput hadir faham masalah besar sedang kita hadapi ini. Jangan malu, jangan segan. Beritahulah tetamu yang telah dijemput bahawa kenduri kahwin yang dirancang terpaksa dibatalkan kerana masalah COVID-19. Saya percaya mereka akan berterima kasih kepada tuan-tuan kerana prihatin tentang kesihatan tetamu,” katanya.

Beliau berkata langkah pencegahan itu penting untuk dilakukan bersama-sama bagi membendung penularan wabak COVID-19.

 Sebanyak 117 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 790 kes.

Muhyiddin menambah perkembangan itu bukanlah sesuatu yang menggembirakan, dan langkah tegas perlu diambil untuk membendung wabak tersebut.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.