Terengganu ketatkan penguatkuasaan di jambatan angkat


Tindakan lebih tegas akan diambil terhadap orang ramai yang tidak mematuhi aspek keselamatan dan peraturan jalan raya sepanjang laluan ke jambatan angkat atau 'drawbridge' selepas ia dibuka secara rasmi kelak.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia termasuk penguatkuasaan terhadap sikap pengguna jalan raya yang meletak kenderaan di kawasan yang tidak sepatutnya.

"Sepanjang tempoh percubaan (2 Jun hingga semalam), kami lihat banyak perkara perlu ditambah baik antaranya tempat sesuai untuk orang ramai berhenti agar mereka boleh merakam video dan gambar dengan selamat.

"Namun, sikap sesetengah pengguna jalan raya yang sengaja meletak kenderaan di atas laluan basikal sedangkan terdapat parkir di kawasan berdekatan tidak boleh diterima... sikap itu perlu diubah dan kami akan tambah baik penguatkuasaan selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sikap pengguna jalan raya yang sengaja meletak kenderaan mereka di laluan basikal di jalan pantai Seberang Takir di Kuala Nerus kerana dikhuatiri akan merosakkan proses penanaman rumput di laluan itu.

Ahmad Samsuri berkata proses penambahbaikan itu akan dilakukan sepanjang penutupan jambatan angkat bermula Isnin.

"InsyaAllah pembukaan rasminya akan dibuat secepat mungkin. Pagi tadi pun, saya terima laporan Jambatan Sultan Mahmud alami kesesakan... ini menunjukkan betapa pentingnya jambatan angkat ini dalam mengurangkan kesesakan di bandar raya ini," katanya.

Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu merupakan yang keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus selain Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.