COVID-19: Kemasukan kapal, pelancong di pelabuhan dan jeti di Langkawi terus dipantau


Jabatan Laut Malaysia (JLM) terus mengawal selia kemasukan kapal dan pelancong menerusi pelabuhan serta terminal feri penumpang bagi mengekang penularan COVID-19, kata Ketua Pengarah Laut Datuk Baharin Abdul Hamid.

Beliau berkata langkah kawalan itu turut melibatkan kapal serta bot layar dari China dan juga sekiranya pelayar adalah dari negara itu.

"JLM dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah atau Negeri serta Pihak Berkuasa Kesihatan Pelabuhan memantau kemasukan pelancong asing melalui laluan Terminal Penumpang Antarabangsa dan Terminal Kapal Persiaran. Pemantauan ini dilaksanakan menerusi saringan kesihatan menggunakan pengimbas suhu atau termometer inframerah.

Selain itu bagi setiap kapal yang memasuki pelabuhan, JLM akan membantu daripada segi pemberitahuan kepada Pihak Berkuasa Kesihatan Pelabuhan sekiranya pelabuhan terakhir disinggahi kapal berkenaan adalah di China," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perasmian Kempen Kesedaran Menangani Penularan COVID-19 Peringkat Nasional JLM di Terminal Feri Penumpang Kuah, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Laut Wilayah Utara Mohd Hafiz Abd Majid dan Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi Dr Mohd Lutpiyuddin Azidin.

Sementara itu mengulas lanjut kempen itu, Baharin berkata JLM berhasrat mendidik serta memupuk kesedaran pengguna feri mengenai kepentingan kebersihan serta kaedah mencuci tangan  dengan betul bagi mencegah bakteria dan virus berbahaya.

Ia termasuk melalui penggunaan pencuci tangan pembasmi kuman serta penutup mulut dan hidung  mengikut prosedur dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Adalah diharapkan dengan pelaksanaan kempen ini dapat membantu dan menyumbang kepada usaha kerajaan dalam mencegah dan mengawal penularan COVID-19 di samping mendidik masyarakat untuk lebih prihatin menjaga kesihatan dan kebersihan," katanya. - BERNAMA
Powered by Blogger.