Strategi keselamatan siber negara dikeluarkan Jun
Kerajaan melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan mengeluarkan Strategi Keselamatan Siber Negara pada pertengahan tahun ini bagi menangani ancaman siber secara komprehensif.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata strategi itu akan dilaksanakan melalui penggemblengan sumber tenaga dan pembangunan prasarana yang memfokuskan kepada pembentukan Pasukan Petugas Keselamatan Siber Negara bagi memastikan negara dapat mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada.
"Ancaman keselamatan siber akan terus memberi cabaran kepada pengurusan keselamatan negara apabila berlaku peningkatan pergantungan kepada teknologi baharu yang bermanfaat, tetapi pada masa yang sama mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Wan Azizah menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) berhubung usaha kerajaan dalam membendung ancaman siber yang boleh menggugat kedaulatan negara jika tiada langkah proaktif diambil.
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kerajaan sentiasa meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman dan serangan siber melalui pembangunan dan pelaksanaan Pelan Pengurusan (NCCMP).
Katanya, pelan yang dibangunkan berdasarkan kepada rangka kerja pengurusan risiko yang menggariskan strategi bagi mengurangkan kesan serangan siber dan tindak balas yang perlu dilaksanakan oleh agensi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) meliputi pelbagai agensi awam dan swasta.
"Antara aktiviti utama yang digariskan adalah pelaksanaan Latih Amal Krisis Siber Negara (X-Maya) yang bertujuan menguji keberkesanan prosedur dan membiasakan agensi CNII dengan mekanisme pengendalian insiden siber serta meningkatkan tahap keupayaan dan kesiapsiagaan agensi bagi menghadapi sebarang ancaman siber.
"Selain itu, kerajaan juga telah menetapkan keperluan keselamatan siber yang perlu kepada agensi-agensi CNII melalui pelaksanaan Pensijilan MS ISO/IEC 27001 Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat," katanya.
Dr Wan Azizah berkata, pensijilan itu menetapkan keperluan pematuhan melalui satu pendekatan yang sistematik dalam pengurusan maklumat bagi menjamin keselamatan maklumat termasuk dasar, proses, prosedur dan fungsi perkakasan serta perisian (software) berkaitan.
"Kita sentiasa meningkatkan kepakaran tenaga mahir untuk memerangi jenayah siber kerana sedar penggodam juga akan melakukan sesuatu yang lebih ke depan bagi mengelak tindakan mereka dikesan," katanya. - Berita Harian
Post a Comment