Wanita maut ditikam


Mayat seorang wanita ditemui dengan kesan tikaman di perut dalam sebuah rumah di Kampung Padang Balang, Sentul di sini, petang semalam.

Mayat ditemui seorang rakan mangsa sebelum melaporkan perkara itu di Balai Polis Setapak kira-kira jam 5.25 petang.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata sepasukan anggota polis kemudian bergegas ke lokasi dan menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring di atas katil.

“Seorang lelaki yang juga teman lelaki mangsa turut ditemui dalam rumah terbabit dalam keadaan kesakitan akibat muntah darah dan sesak nafas kerana dipercayai cuba membunuh diri dengan meminum cecair pencuci lantai.

“Lelaki terbabit dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan dan dia kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan masih dirawat di Zon Merah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, lelaki terbabit dipercayai ada kaitan dengan pembunuhan mangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung motif kejadian.

“Mangsa sudah dikenal pasti identitinya, berusia 24 tahun dan berasal dari Tanah Merah, Kelantan. Mayatnya dihantar ke HKL untuk bedah siasat.

“Menerusi semakan yang dibuat, kita dapati suspek yang berusia 43 tahun tiada rekod jenayah lampau,” kata Rajab Ahad yang turut memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Tambah beliau, pihaknya memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil segera membantu siasatan.

“Sebarang maklumat berhubung kes ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan (ASP) Stephen Ganeson di talian 016-3767390 atau ASP M Hussin Sollehuddin Zolkifly di talian 017-2446363.

“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460522 sambungan 584/585 atau balai polis berdekatan,” katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.