Malaysia perkenal Pengiktirafan Premis Penginapan Pelancongan Mesra Muslim

Malaysia menjadi negara pertama memperkenalkan Pengiktirafan Premis Penginapan Pelancongan Mesra Muslim dalam usaha menarik pelancong Muslim dunia yang dijangka mencecah 230 juta menjelang 2026.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata pengiktirafan yang dilaksanakan melalui Islamic Tourism Centre, sebuah agensi di bawah kementeriannya, adalah penting bagi menghilangkan keraguan umat Islam untuk menginap dan melaksanakan ibadat di premis penginapan.

"Permintaan dari pelancong Asia Barat mengenai tempat penginapan mesra Muslim adalah tinggi. Malah hotel di negara bukan Islam juga cuba mendapatkan pengiktirafan mesra Muslim seumpama itu bagi menarik lebih ramai pelancong," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pengiktirafan itu di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre Datuk Seri Abdul Khani Daud berkata pengiktirafan tersebut terbahagi kepada tiga kategori iaitu platinum, emas dan perak.

Bagi platinum, tempat penginapan perlu memenuhi tujuh syarat pengiktirafan mesra Muslim; emas perlu memenuhi lima syarat pengiktirafan; manakala perak empat syarat.

Antara syarat pengiktirafan ialah hotel perlu menyediakan maklumat berkenaan lokasi masjid, tempat tumpuan pelancongan mesra Muslim, menyediakan makanan serta minuman halal di restoran, menyediakan arah kiblat yang jelas serta sejadah dan naskah Al-Quran dalam bilik penginapan.

Syarat pengiktirafan lain ialah pengasingan kemudahan kolam renang dan gimnasium untuk wanita dan lelaki atau menyediakan jadual waktu khas untuk wanita Islam menggunakan kemudahan itu, katanya.

Abdul Khani berkata setakat ini, 12 hotel sudah mendapat pengiktirafan dengan tujuh mendapat kategori platinum, empat emas dan satu perak.

"Buat masa ini permohonan bagi mendapatkan pengiktirafan itu boleh dibuat secara percuma,” katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.