Kementerian usaha kurangkan karenah birokrasi pindah milik lesen sampan khas menangkap ikan


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhasrat untuk mengurangkan karenah birokrasi dalam aspek pindah milik lesen sampan khas menangkap ikan daripada nelayan kepada anaknya.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata langkah itu dibincangkan kerana terdapat banyak rungutan diterima daripada nelayan berhubung perkara itu, sedangkan jabatan kerajaan seharusnya memudahkan permohonan rakyat.

"Ada bapa yang sudah uzur atau tidak lagi berdaya mahu menurunkan lesen itu kepada anak, tapi prosedur yang perlu dilalui rumit sehingga perlu berulang alik banyak kali ke pejabat. Jadi kita mahu anak yang mahu ke laut boleh menggunakan lesen itu tanpa dikenakan tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan di Jeti Nelayan Balok di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Jamaludin Othman dan Timbalan Pengarah Maritim Negeri Pahang (Operasi) Kapten V. Pannir Selvan.

Katanya langkah memudahkan proses itu juga adalah sebahagian daripada matlamat beliau untuk membantu golongan nelayan dan petani, namun peringatan diberikan kepada pegawai supaya tidak 'berbohong' kerana tiada krompromi dalam aspek integriti.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata kementerian juga sedang melaksanakan proses pemutihan terhadap lesen bot C2 iaitu kategori laut bagi mengurangkan masalah pencerobohan pukat tunda yang semakin menghampiri kawasan nelayan pantai.

"Langkah ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan setakat ini, sudah 400 lesen C2 yang dibatalkan," katanya.

Pada majlis itu, Salahuddin juga mengumumkan peruntukan RM80,000 untuk menaiktaraf pasar nelayan Balok bagi menggalakkan pendaratan ikan di situ.

-- BERNAMA 

Powered by Blogger.