Tiada kes positif dalam tempoh tiga minggu


Tidak ada pertambahan kes positif coronavirus baharu (2019-nCOV) di Malaysia sehingga ini, sekali gus menyaksikan tiada sebarang peningkatan wabak itu dalam tempoh lebih tiga minggu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata semua kes positif adalah membabitkan warganegara China, masing-masing tiga kes disyaki (PUI) dan lima individu dalam dalam kalangan kontak rapat.

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, jumlah terkumpul kes PUI bagi 2019-nCoV adalah 192 orang, iaitu 105 rakyat tempatan, China (82 orang) dan masing-masing satu warga Australia, Korea, Jordan, Brazil dan Thailand.

“(Daripada jumlah PUI itu) Tiga kes disahkan positif 2019-nCoV, 173 kes negatif dan 16 masih menunggu keputusan makmal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, kontak rapat kes positif 2019-nCoV kekal seramai 32 orang dan lima daripadanya yang disahkan positif jangkitan virus berkenaan dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Permai.

Sehingga kini, katanya, semua individu yang disahkan positif 2019-nCoV berada dalam keadaan stabil, manakala ujian makmal terhadap 27 kontak rapat lain didapati negatif. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.