Elakkan aktiviti riadah di tempat berisiko pada musim hujan


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menasihatkan orang ramai tidak melakukan aktiviti riadah di tempat berisiko sepanjang musim hujan sebagai langkah keselamatan.

Kawasan rekreasi yang perlu dielakkan seperti perkelahan di sungai, dalam hutan dan air terjun, serta pendakian yang boleh dianggap sebagai aktiviti berisiko tinggi untuk berlaku kejadian tidak diingini.

Ketua Cawangan Pengurusan Pasukan Penyelamat JBPM, Penolong Pesuruhjaya Bomba Zahar Abdullah berkata, sepanjang musim tengkujuh tempat rekreasi dan pelancongan berkenaan berisiko untuk berlaku kejadian seperti arus deras, paras air naik secara tiba-tiba kerana kepala air dan banjir.

“Kawasan terbabit mungkin di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Hutan dan agensi swasta.

“Kita harap mereka pantau kawasan berisiko ini dan menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan itu bagi mencegah daripada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya pada sidang media khas bagi persediaan banjir di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah JBPM Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohamad Shoki Hamzah, dan Ketua BBP Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar.

Zahar berkata, pihaknya bersama Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA) juga sudah mengenalpasti 15 kawasan rekreasi di seluruh negara yang berisiko berlaku kes lemas.

Katanya, satu jawatankuasa juga sudah dilantik untuk memasang Papan Tanda Keselamatan di Air di sekitar 15 lokasi berisiko tinggi terbabit.

Sembilan daripadanya sudah siap dipasang membabitkan tujuh lokasi di Selangor iaitu di Sungai Chiling, Air Terjun Sungai Sendat, Sungai SJKC Kampung Timah, Sungai Gasi, Jambatan Stesen KTM Sungai Buloh, Empangan Semenyih dan Taman Putra Perdana.

Dua lagi di Pahang membabitkan Air Terjun Sungai Berkelah dan Air Terjun Chamang.

Enam lokasi lagi dalam proses untuk melakukan pemasangan membabitkan tiga di Kelantan iaitu Sungai Kampung Sabak, Pantai Nipah dan Pantai Muara Tok Bali, manakala selebihnya di Air Terjun Sekayu, Terengganu; Pantai Teluk Bahang, Pulau Pinang, dan Sungai Kampung Batu Payung, Sabah. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.