Coronavirus: MOTAC struktur semula kempen TMM 2020, sasar pasaran baharu


Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menstruktur semula kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) dengan menyasarkan pasaran baharu susulan penularan coronavirus.

Antara negara baharu yang akan diberi fokus untuk kempen TMM2020 adalah Eropah, Australia, Asia Barat, Asia Tengah, Asia Timur seperti Jepun dan Korea Selatan serta Russia bagi menarik pelancong berkualiti dan berbelanja besar di Malaysia.

MOTAC juga telah merangka strategi ‘Quick Win’ untuk pasaran jarak dekat negara-negara ASEAN sebagai kempen alternatif untuk pemulihan industri pelancongan negara.

Menterinya, Datuk Mohammadin Ketapi, berkata kementerian mendapati kesan krisis coronavirus di Wuhan, China, menyebabkan jumlah pelancong dari negara itu turun dengan mendadak.

Tanpa menyebut jumlah penurunan pelancong dari China ketika ini, beliau berkata, tahun lalu, warga negara berkenaan menyumbang 11 peratus daripada jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia.

“Yang turut menjadi kegusaran adalah reaksi dan kebimbangan rakyat Malaysia, terutama mereka yang bekerja dalam industri pelancongan terhadap risiko jangkitan dan kesan negatif ketibaan pelancong ke Malaysia,” katanya.

Mohammadin berkata demikian pada sidang media di sini hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan yang membincangkan rangka dan strategi pemulihan pelancongan negara akibat wabak coronavirus di China yang telah memberi kesan kepada industri pelancongan global.

Katanya, sesi ‘town hall’ juga akan diadakan bermula 10 Februari hingga bulan hadapan di beberapa negeri bersama penggiat industri bagi mendapatkan input daripada mereka untuk memulihkan sektor pelancongan negara.

“Saya juga akan melakukan perbincangan dengan Kerajaan Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sabah untuk mencari penyelesaian terbaik bagi pemulihan industri pelancongan di negeri masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Tourism Malaysia diarah untuk merancakkan lagi promosi kempen Cuti-Cuti Malaysia bersama penggiat industri bagi mengukuhkan pelancongan domestik serta mengimbangi kemerosotan pelancong asing ke negara ini.

“MOTAC juga sedia mengadakan perbincangan intensif bersama Malaysia Airlines, Malindo Air dan AirAsia untuk menerokai laluan penerbangan baharu terutama ke pasaran Eropah, Asia Barat dan Asia Tengah memandangkan banyak penerbangan ke China telah dihentikan buat masa ini,” katanya. - BERNAMA
Powered by Blogger.