KKMM sentiasa komited dengan peranan semarakkan semangat patriotsme - Eddin


Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sentiasa komited dengan peranan dan fungsinya dalam menyemarakkan semangat patriotsme dan cintakan negara khususnya dalam bulan sambutan kebangsaan ini, kata Timbalan Menterinya Eddin Syazlee Shith.

Sehubungan itu, beliau berkata usaha mengerakkan kempen kibarkan Jalur Gemilang, sama ada di kenderaan, premis kediaman, pejabat, bangunan kerajaan dan di kedai-kedai sentiasa diteruskan dan perlu dijadikan sebagai budaya masyarakat Malaysia tidak kira di bandar atau desa.

"Program berteraskan Jalur Gemilang seperti kayuhan santai, larian, atau mengedar Jalur Gemilang perlu dijadikan aktiviti wajib bagi setiap pejabat daerah ataupun persatuan khususnya melibatkan belia dan remaja," katanya ketika berucap pada program Aspirasi Merdeka Radio RTM Sabah 2019, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob, Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Azhar Matussin dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Abdul Muis Shefii.

Pada masa yang sama, Eddin Syazlee menasihatkan agar setiap Jalur Gemilang yang telah lama, usang dan koyak digantikan yang baharu, bukan sahaja di musim bulan kebangsaan namun perlu diamalkan setiap masa.

"Ini bagi menjaga dan memberikan imej yang baik terhadap Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan negara kita yang sentiasa segar, bersih dan cantik selaras semangat diri kita yang sentiasa inginkan semangat yang segar dan murni," katanya.

Sementara itu, Abdul Muis berkata program Aspirasi Merdeka merupakan program tonggak RTM sempena bulan kebangsaan yang dianjurkan setiap tahun sejak 2014.

"Ia merupakan sumbangan peribadi Jabatan Penyiaran Malaysia dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme untuk bulan kebangsaan. Tahun ini rangkaian Radio RTM menganjurkan program yang sama di 21 lokasi di seluruh negara.

"Program ini juga merupakan antara usaha berterusan RTM untuk mendidik golongan muda untuk menghargai dan peka mengenai erti kemerdekaan," katanya.

Beliau berkata Sekolah Menengah Kebangsaan Pangiran Omar II, Sipitang telah dipilih sebagai lokasi program pada kali ini dengan penyertaan 90 pelajar dari empat buah sekolah menengah di daerah ini dan dua sekolah menengah di Beaufort.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.