Negara Islam Perlu Bina Budaya Berdikari - Tun Dr Mahathir




Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa negara-negara Islam supaya berdikari dengan menghasilkan produk sendiri dan memanfaatkan 1.7 bilion pasaran Islam untuk mengukuhkan ekonomi mereka.

Beliau berkata negara Islam yang mempunyai banyak sumber semula jadi, perlu mendapatkan bahan yang diperlukan daripada sesama mereka untuk menghasilkan produk bagi memenuhi pasaran berkenaan.

"Apabila kita berbuat demikian, kita akan menjadi lebih kuat. Adalah penting untuk kita mempelajari bagaimana untuk menghasilkan sesuatu dengan sendiri, " katanya ketika soal jawab sesi meja bulat pertama yang bertemakan ‘Keutamaan Pembangunan dan Cabaran’, yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, di sini semalam. 

Turki misalnya, telah menceburi sektor teknologi dengan menghasilkan peralatan pertahanan terkini, kata Dr Mahathir.

Sementara itu, perdana menteri berkata terdapat keperluan untuk kerjasama kukuh dalam kalangan negara-negara untuk memastikan kelestarian sumber asli.

“Sekiranya kita mendapatkan keperluan kita dari negara-negara Islam, bermakna kekayaan kita akan kekal dalam masyarakat Islam dan kita menjadi lebih kaya," katanya.

Dr Mahathir mengingatkan umat Islam bahawa negara mereka boleh menjadi lebih bebas apabila mereka kukuh dalam ekonomi.

"Jika kita terlalu bergantung segala-galanya dari negara lain (terutamanya) dari barat, maka kita akan terus bergantung dan tidak bebas," katanya. - BERNAMA

Powered by Blogger.