Hargai Artis Ketika Hayat Ada


Penyanyi, Ameng Spring mahu penggiat dan peminat industri seni tempatan mengubah sikap ke arah positif dengan menghargai seseorang artis atau individu ketika hayatnya masih ada.
Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 50, berkata, kenyataan itu dibuat apabila melihat sambutan dingin peminat terhadap Konsert The Legend 40 Tahun Rosli Mohalim yang berlangsung pada 29 November lalu di Panggung Asia, Gombak.
“Rosli Mohalim adalah satu legenda industri kerana pernah menganggotai kumpulan Sweet Charity.
“Dengan namanya yang besar, dia sepatutnya dihargai dan tak boleh diabaikan begitu saja. Sepatutnya konsert terbabit dapat sokongan daripada penaja besar.
“Tambah lagi barisan artis yang terbabit juga kuat antaranya saya sendiri, Mus, Zamani, Yabang dan beberapa artis lain,” katanya.
Menurutnya, masyarakat selalunya hanya menghargai atau mengenang nama popular ini apabila mereka sudah meninggal dunia dan ia tidak sepatutnya berlaku.
“Selalunya begitulah jadinya. Orang itu dah tiada, barulah kita nampak kehebatannya dan puji itu ini. Apabila ada di depan mata, ada yang buat tak nampak dan tak ambil peduli.
“Kadang-kadang kita lebih utamakan perkara yang belum ada hala tuju. Kalau diikutkan, Rosli Mohalim adalah gitaris hebat dan mempunyai banyak koleksi lagu popular.
“Ramai yang membesar dengan lagunya yang mempunyai kenangan tersendiri. Perkara ini perlu diperhalusi semula,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, kegagalan konsert terbabit juga mungkin berpunca daripada lambakan konsert percuma yang berlangsung di ibu kota sebelum itu.
“Ada dua konsert percuma menampilkan barisan artis besar yang dihadiri ramai peminat.
“Apabila ada konsert percuma berbanding dengan konsert berbayar, sudah tentu yang berbayar akan kalah.
“Peminat pasti tahu konsert percuma begini bakal berlangsung lagi dan akan tunggu. Ini menjadi masalah buat artis yang akan mengadakan konsert berbayar,” katanya. - HARIAN METRO 


Powered by Blogger.