Persiapan e-Tunai Rakyat Kini Di Peringkat Akhir



Persiapan akhir menjayakan pelaksanaan inisiatif e-Tunai Rakyat oleh Kementerian Kewangan, sedang giat dijalankan sebelum pelancarannya pada Januari ini.
Kementerian Kewangan melantik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk memudah serta menyelaraskan pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Program rangsangan digital berjumlah RM450 juta itu membabitkan kerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerja pelaksanaan yang diselaraskan oleh Khazanah adalah usaha komprehensif bagi memastikan inisiatif e-Tunai Rakyat dapat dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan serta menerapkan ciri-ciri keselamatan untuk pengguna.
Antara lain, katanya, kerja pelaksanaan itu merangkumi usaha membangun mekanisme serta proses dan prosedur yang diperlukan oleh inisiatif terbabit.
“Khazanah juga bertanggungjawab ke atas pemilihan pengendali perkhidmatan e-dompet yang secara kolektif menyediakan platform sedia ada dengan jumlah pengguna aktif sedia yang besar serta rangkaian pedagang luas untuk inisiatif e-Tunai Rakyat.
“Khazanah akan mengumumkan pengendali perkhidmatan e-dompet yang dipilih berdasarkan kriteria ditetapkan bagi membolehkan inisiatif ini dilancarkan dalam tempoh ditetapkan, serta dapat memastikan keberkesanan dan kejayaan pelaksanaannya pada Januari 2020,” katanya menerusi kenyataan semalam. 
Melalui inisiatif e-Tunai Rakyat, Guan Eng berkata, warga negara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, yang berpendapatan tahunan kurang daripada RM100,000; layak menerima RM30 setiap seorang bagi dibelanjakan untuk barangan dan perkhidmatan yang tersedia melalui pengendali perkhidmatan e-dompet terpilih.
“Selain itu, pengendali perkhidmatan e-dompet yang dipilih juga merancang untuk menawarkan insentif tambahan bagi menggalakkan penggunaan sepanjang tempoh dua bulan inisiatif ini dilaksanakan.
“Maklumat lanjut cara memohon serta terma dan syarat penggunaannya akan dimaklumkan oleh Khazanah dan pengendali perkhidmatan e-dompet yang dipilih dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, program e-Tunai Rakyat adalah sejajar dengan agenda Kemakmuran Bersama yang bertujuan mengurangkan halangan untuk akses kepada teknologi digital dan menjadikan proses digitalisasi untuk semua.
“Kami yakin inisiatif e-Tunai Rakyat akan memberi manfaat besar kepada pengguna dan pedagang tempatan serta membantu mencapai matlamat yang disasarkan iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai masyarakat dan ekonomi digital yang maju.
“Adalah dijangkakan RM30 yang diberikan kepada setiap orang, mungkin ditambah nilainya berpandukan syarat dan tawaran oleh pengendali perkhidmatan,” katanya. - BERITA HARIAN 

Powered by Blogger.