Mangsa Banjir Di Kelantan Dan Johor Berkurangan, Sabah Meningkat
Keadaan banjir yang
melanda Kelantan dan Johor sejak beberapa minggu lepas beransur pulih dengan
jumlah mangsa berkurangan di kedua-dua negeri berkenaan, namun bilangan mangsa
bencana itu di Sabah meningkat setakat 8 pagi tadi, berbanding semalam.
Di KELANTAN, jumlah
mangsa turun kepada 1,243 orang daripada 459 keluarga berbanding 1,322 mangsa
membabitkan 490 keluarga malam tadi.
Aplikasi Info Bencana
JKM memaparkan, 1,093 mangsa daripada 422 keluarga masih ditempatkan di
lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas, manakala di Jeli kekal
dengan 150 mangsa daripada 37 keluarga yang menghuni dua PPS.
Sementara itu, laman
sesawang ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan Sungai Golok di Rantau Panjang,
Pasir Mas masih melepasi paras bahaya pada bacaan 9.72 meter (bahaya 9.0 meter)
manakala semua sungai utama lain kini berada di paras normal.
Berdasarkan tinjauan
Bernama, cuaca pagi ini cerah manakala tiada sebarang jalan utama ditutup
kepada semua kenderaan.
Sementara itu, Polis
Kelantan mengesahkan lima mangsa terkorban sepanjang gelombang pertama dan
kedua banjir yang melanda negeri itu, setakat ini.
Di JOHOR, jumlah
mangsa banjir yang berada di PPS di Segamat dan Batu Pahat berkurangan kepada
488 orang daripada 111 keluarga pagi ini, berbanding 613 orang daripada 143
keluarga, petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa
Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon
menerusi satu kenyataan berkata setakat 8 pagi ini, 12 PPS masih dibuka dengan
10 daripadanya di Segamat manakala dua di Batu Pahat.
Katanya, kesemua 451
mangsa daripada 104 keluarga di Segamat melibatkan penduduk dari Kampung Kolam
Air, Kampung Batu Badak, Pogoh, Kampung Spang Loi, Kampung Tandong, Kuala Paya,
Kampung Sanglang, Kampung Kuing Patah, Kampung Bukit Tunggal dan Kampung Pogoh,
manakala 37 orang daripada tujuh keluarga di Batu Pahat membabitkan penduduk di
Parit Sulong dan Kampung Peserai Lama, dekat Semerah.
Di SABAH, seramai 450
orang daripada 160 keluarga dari beberapa kampung di Beaufort dan Membakut
dipindahkan ke PPS di Dewan Selagon, Beaufort, setakat jam 8 pagi tadi.
Agensi Pertahanan Awam
Malaysia (APM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah mangsa berkenaan
bertambah berbanding 402 orang daripada 143 keluarga dipindahkan ke PPS itu,
semalam.
PPS tersebut dibuka
pada 6.15 petang Khamis lepas, selepas lebih 10 kampung di Beaufort dan 20
kampung di Membakut terjejas berikutan hujan berterusan di kawasan berkenaan.
Beberapa jalan
menghubungkan kampung terbabit turut terjejas dan tidak boleh dilalui oleh
semua kenderaan. – BERNAMA
Post a Comment