Tindakan Tegas Jika Langgar Syarat - Zuraida


Syarikat Kredit Komuniti yang gagal mematuhi syarat dan garis panduan ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berdepan tindakan tegas termasuk dibatalkan lesen dan pendakwaan di mahkamah.
Amaran itu dikeluarkan Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin kepada 4,292 syarikat yang berdaftar dengan kementerian itu jika didapati gagal memenuhi garis panduan ditetapkan.
Beliau berkata, KPKT bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau semua syarikat Kredit Komuniti supaya tidak menjalankan perniagaan melampaui batas undang-undang.
“Jika ada aduan dan laporan, KPKT tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap syarikat terbabit. Setiap laporan yang diterima akan disiasat dengan kerjasama polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kejohanan Bola Sepak Piala YB Zuraida Kamaruddin di padang bola Tasik Tambahan di sini, hari ini.
BH dalam laporan muka depannya hari ini mendedahkan penjenamaan semula syarikat Pemberi Pinjam Wang (PPW) kepada Kredit Komuniti dilihat gagal menyerlahkan imej baharu yang mahu ditampilkan bagi perkhidmatan itu.
Selepas lapan bulan ia dilancarkan, majoriti syarikat PPW belum memenuhi garis panduan yang ditetapkan KPKT di bawah program itu termasuk tidak memasang papan tanda mengikut spesifikasi sebagai Kredit Komuniti.
Malah berdasarkan aduan yang diterima Bahagian Kawalan Kredit Komuniti KPKT, ada syarikat terbabit mengenakan faedah melebihi kadar ditetapkan iaitu 12 peratus setahun atau satu peratus sebulan bagi pinjaman bercagar, manakala 18 peratus setahun atau 1.5 peratus sebulan untuk pinjaman tanpa cagaran.
Mengenai laporan hanya 11 daripada 4,292 syarikat yang berdaftar dengan KPKT memasang papan tanda sebagai syarat untuk mengiklankan perkhidmatan, Zuraida berkata, kelewatan memasang papan tanda disebabkan ia dilakukan secara berperingkat.
“Ketika kita melancarkan Kredit Komuniti tahun ini, kebanyakan syarikat terbabit menunggu sehingga mereka memperbaharui lesen masing-masing sebelum memasang papan tanda berkenaan.
“Bagaimanapun, tahun depan sama ada lesen mereka belum diperbaharui dan sebagainya, mereka kena pasang papan tanda baharu seperti ditetapkan syarat lesen,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Zuraida berkata, pengambilalihan tapak tanah bangunan Highland Towers di Hulu Klang akan dimuktamadkan pada 8 Januari ini.
“Isnin lalu, saya berjumpa Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan beliau akan membawa isu tanah Highland Towers ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 8 Januari ini.
“Insya-Allah akan dimuktamadkan 8 Januari ini,” katanya.
Amirudin sebelum ini dilaporkan pengambilalihan tapak tanah bangunan Highland Towers tidak boleh diselesaikan sebelum akhir tahun ini berikutan beberapa proses yang perlu diselesaikan membabitkan pengambilalihan tanah berkenaan. - BERITA HARIAN 


Powered by Blogger.