KWSP Mohon Maaf, Minta Pesakit Kanser Datang Ke Pejabat


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memohon maaf kepada keluarga seorang pesakit kanser tahap empat terlantar, di sini, yang diminta hadir ke pejabat agensi berkenaan bagi mengeluarkan wang carumannya.
KWSP dalam kenyataan di laman Facebook agensi itu berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai berita yang sedang tular berkaitan pengalaman perkhidmatan buruk seorang daripada ahlinya di Johor Bahru.
“KWSP amat kesal dan memohon maaf atas pengalaman kurang menyenangkan yang dialami ahli berkenaan dan keluarganya.
“Pihak kami sudah menghubungi dan berjumpa dengan ahli berkenaan dan keluarganya untuk memahami situasi yang dihadapi dengan lebih lanjut.
“Ini bukan sahaja bertujuan membantu kes ahli berkenaan, malah kami akan menggunakan pengalaman kali ini untuk memperbaiki proses yang sedia ada supaya kami dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan prihatin kepada ahli kami.
“Sekali lagi, kami ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang telah berlaku. Di sini juga ingin kami menegaskan bahawa pihak KWSP sentiasa mengambil berat terhadap aduan atau maklum balas daripada ahli mengenai tahap perkhidmatan untuk tujuan penambahbaikan berterusan,” kata kenyataan berkenaan.
Pengalaman buruk pesakit kanser tahap empat yang terpaksa menaiki ambulans sebelum diusung dengan katil pesakit ke pejabat KWSP Cawangan Johor Bahru tular di media sosial apabila seorang wanita memuat naik pengalaman membawa kakaknya yang terlantar bagi pengesahan cop jari.
Dakwa individu itu, kakaknya yang juga pesakit kanser tahap empat diminta hadir sendiri dalam apa jua cara jika mahu mengeluarkan wang simpanannya berjumlah RM10,000 selain menyertakan gambar kakaknya terbaring di atas katil di hadapan cawangan KWSP berkenaan dan bukti borang aduan rasmi yang dibuat. - BERITA HARIAN 
Powered by Blogger.