Guru Bahasa Inggeris didakwa cabul remaja


Seorang guru yang mengajar Bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang remaja perempuan di bilik hotel April lalu.

Tertuduh, Lee Ann Loke, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali. 

Mengikut kertas pertuduhan, Ann Loke didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menggeselkan kemaluannya terhadap kemaluan mangsa yang berusia 13 tahun bagi tujuan seksual.

Kesalahan itu dilakukan olehnya kira-kira pukul 10.30 pagi di sebuah bilik hotel di Petaling Jaya, Selangor pada 5 April lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlina Razali manakala tertuduh diwakili peguam bela, Syazwan Hasan.

Yong Zarida membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan 30 September depan untuk sebutan semula kes. - K! ONLINE
Powered by Blogger.