Pelakon lelaki didakwa larikan mata wang kripto lebih RM200,000


Seorang pelakon lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian penipuan dalam urusan pemindahan mata wang Kripto (Cryptocurrency) milik seorang penerbit filem bergelar Datuk di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 12.20 tengah hari selepas suspek hadir memberikan keterangan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) di Balai Polis Taman Bukit Indah.

"Tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa mendakwa mata wang kripto bernilai kira-kira RM213,805 miliknya telah dipindahan ke akaun lain tanpa pengetahuannya.

"Suspek telah disyaki melakukan pemindahan tersebut memandangkan hanya lelaki berkenaan yang didakwa mengetahui kata laluan bagi akaun mata wang kripto milik mangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut  Noor Azmi, tangkapan ke atas suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu dibuat oleh pasukan Unit Cryptocurrency Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bersama BSJK Daerah Ampang Jaya.

"Siasatan berhubung kejadian berkenaan masih lagi diteruskan bagi mendapatkan pengesahan transaksi tersebut," tegas beliau. - KOSMO!
Powered by Blogger.