Kerajaan ada peruntukan laksana Program Sarapan Percuma - PM


Kerajaan ada peruntukan untuk melaksanakan Program Sarapan Percuma (PSP) mulai tahun depan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan boleh menggunakan peruntukan untuk program berkenaan daripada wang yang diperoleh daripada pelbagai agensi, misalnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Biasanya walaupun ada kementerian yang kutip duit banyak, tak bermakna ia (peruntukan) diberi kepada kementerian itu sahaja, kalau macam itu kastam (JKDM) kaya,” katanya dalam sidang media bersama wartawan Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam di sini, hari ini.

Ditanya mengenai sumber kewangan untuk program berkenaan, termasuk kemungkinan daripada cukai gula, Dr Mahathir berkata, ia sedang diperhalusi.

“Semua cukai dikutip, masuk (dalam) satu dana dan diagih kepada pelbagai kementerian, kalau ada keperluan dan peruntukan tambahan, kita akan pertimbangkan, kalau mampu kita bagi,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, kerajaan kini berdepan kesukaran untuk melaksanakan pelbagai program disebabkan kekangan belanjawan akibat tindakan kerajaan dahulu yang meninggalkan hutang terlalu banyak.

Ditanya apakah menu yang sesuai untuk sarapan murid apabila ia dilaksanakan kelak, Perdana Menteri berkata, banyak menu sihat boleh difikirkan oleh pihak kementerian berkenaan. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.