Pelajar peroleh 7A SPM dipenjara kerana ketagih ketum


Mencapai keputusan 7 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sepatutnya melayakkan dirinya untuk merasai keseronokan belajar di pusat pengajian tinggi.

Tetapi keadaan itu tidak berlaku ke atas Ahmad, 17, (bukan nama sebenar) apabila terpaksa merengkok di penjara gara-gara ketagih air ketum, setelah tersilap memilih kawan selepas peperiksaan SPM pada 2017.

Dia yang ditemu bual Bernama di Penjara Marang baru-baru ini mengakui menyesal atas perbuatannya sedangkan sepanjang belajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bahru, Kelantan, beliau adalah pelajar contoh dan cemerlang.

Ahmad dijatuhi hukuman penjara setahun setelah mengaku bersalah memiliki sekilogram daun ketum pada 2018 dan perlu menjalani hukuman itu sehingga Ogos ini.

“Saya akui kesilapan ini berlaku akibat diri sendiri. Saya sunyi tiada kawan karib dan banyak kali berasa keseorangan hinggalah bertemu dengan 5 rakan sekampung yang sudi berbual dan menunjukkan keprihatinan.

“Dalam tempoh mereka rapat dengan saya itu, beberapa kali dapat tengok mereka menelan pil kuda dan air ketum, tetapi masih mampu mengelak.

“Namun perasaan ingin tahu itu lebih menebal hingga akhirnya saya ketagih hingga sanggup menghabiskan duit untuk membelinya,” katanya yang berkesempatan belajar di Sekolah Integriti yang disediakan pihak penjara.

Perubahan yang menimpa dirinya itu bukan sahaja mengecewakan ibunya, tetapi juga dalam kalangan guru yang terkejut dengan perubahan mendadak.

Malah apabila menerima keputusan SPM, beliau menganggap kemasukan ke universiti adalah penghalang kepadanya untuk mendapatkan air ketum.

“Kawan-kawan katakan saya akan alami kesukaran jika belajar lagi kerana di sana tiada air ketum. Ketika fikiran tengah berkecamuk saya sanggup abaikan permohonan ke mana-mana pusat pengajian tinggi dan fokus bekerja di kilang papan untuk dapatkan duit,” katanya yang merupakan anak kedua daripada 4 beradik.

Ahmad mengakui terkilan dengan perbuatannya dan ia sentiasa bermain di fikiran hingga timbul rasa cemburu apabila mendapat khabar rakan sebaya telah mula sambung belajar sedangkan dia terpaksa mengharungi kehidupan sukar di sebalik tirai besi.

Tekad untuk berubah serta menjauhi mereka yang liar menjadi fokus utama Ahmad apabila melangkah keluar penjara itu nanti dan perkara pertama yang ingin dilakukan ialah memeluk ibunya bagi memohon ampun.

Ahmad yang bertubuh kecil itu sudah mulai sedar bahawa tindakannya telah menghancurkan harapan ibunya berusia 41 tahun, apatah lagi dia pernah berjanji untuk mengubah nasib keluarga.

Menurutnya, bapanya yang berusia 42 tahun kini berada dalam tahanan penjara di Machang, Kelantan manakala kakaknya, 21, di penjara Pengkalan Chepa, Kelantan, kerana kedua-duanya terlibat dengan dadah.

Ahmad memperoleh keputusan 7A, 1B, 1C dan 1D dalam SPM 2017 dan menurut kaunselor di Penjara Marang Nor Fakhrini Abdul Razab, pihaknya akan berusaha memohon politeknik atau mana-mana pusat pengajian yang sesuai untuk Ahmad.

“Beliau seorang yang bijak, sentiasa bertanya dan mudah menerima arahan. Lihatlah kelakuan dia…sangat sopan.

“Saya sedih apabila memikirkan bagaimana dia boleh terjebak. Ramai pelajar saya temui di sini, tetapi saya dapati Ahmad punya masa depan yang baik jika dia bersedia berubah dan keluar daripada masalah lama. - Free Malaysia Today
Powered by Blogger.