Biar 5G jadi satu lagi peristiwa penting ke arah Malaysia yang lebih hebat - Gobind


Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mahu teknologi generasi kelima atau lebih dikenali sebagai 5G menjadi satu lagi peristiwa penting ke arah Malaysia yang lebih hebat.

Ini kerana 5G akan memperkuat keupayaan Malaysia untuk menyertai Revolusi Industri Keempat (IR4.0), dan membolehkan industri-industri memanfaatkan sepenuhnya kecerdasan buatan, robotik, data raya, realiti maya dan kejuruteraan perisian, katanya.

Berucap pada Pameran 5G Malaysia di sini hari ini, Gobind berkata tekonologi 5G akan membawa inovasi yang akan memberi impak besar kepada hampir setiap sektor termasuk pendidikan, pengangkutan, pertanian, penjagaan kesihatan, pembuatan, hiburan dan keselamatan awam.

"Koridor Raya Multimedia (MSC) telah meletakkan Malaysia di peta dunia. Sambil berasa selamat dengan kekuatan yang ada pada kita, bangga dengan sejarah kita dan yakin terhadap masa depan, marilah kita memanfaatkan peluang ini untuk meneruskan perjalanan yang telah kita mulakan 23 tahun yang lepas,” katanya dan menambah, bahawa kerajaan tidak akan berjaya membina negara secara bersendirian dan memerlukan penyertaan bersama setiap orang.

Pameran itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebanyak 11 pempamer mengambil bahagian dalam Pameran 5G Malaysia di Kompleks Perbadanan Putrajaya itu, yang menampilkan pelbagai aplikasi untuk industri berbeza termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan, perladangan dan perkilangan pintar.

Menurut Gobind, pelancaran dan pameran hari ini merupakan kesinambungan perjalanan MSC yang bermula 23 tahun lalu dan merupakan manifestasi kejayaannya.

"Ini adalah satu perjalanan yang kita lalui bersama, sebagai sebuah negara, yakin dan berharap kita akan bersama-sama menerusi teknologi membina Malaysia yang lebih baik, sebuah negara di mana semua orang secara kolektif mendapat manfaat dan berjaya," katanya.

Melalui semangat inovasi yang diwujud sejak awal MSC, Gobind dengan bangganya berkata Malaysia kini berada antara negara pertama di Asia dan dunia yang melancarkan infrastruktur kesalinghubungan generasi akan datang 5G.

Pada Jun tahun lepas, Gobind berkata kerajaan menggunakan pendekatan baru untuk jalur lebar dan kesalinghubungan, di mana ia mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti jalur lebar, menambah kelajuan dan mengurangkan harga jalur lebar tetap di mana mungkin.

"Kesan inisiatif ini, yang melibatkan 1.2 juta orang adalah pengurangan harga antara 35 peratus hingga 55 peratus peningkatan kelajuan internet dalam beberapa keadaan sebanyak 10 kali dari Julai hingga Disember tahun lepas," katanya.

Mengikut dasar baharu itu, Gobind berkata pakej 30Mbps peringkat awal berharga RM79 berbanding pakej 10Mbps sebelum ini pada kira-kira RM129 dan dasar baru diterjemahkan kepada pengurangan RM600 setahun dalam kos sara hidup di samping meningkatkan kelajuan sebanyak tiga kali untuk pakej peringkat permulaan.

Ia juga meletakkan Malaysia di hadapan dari segi pilihan pelaburan kerana kesalinghubungan kini diambil kira apabila keputusan dibuat sama ada perniagaan perlu berkembang ke mana-mana negara tertentu, katanya.

Gobind berkata kerajaan juga telah melancarkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), pada Oktober tahun lepas yang menyediakan hala tuju yang lebih jelas dan sasaran yang perlu dicapai pada 2023.

"Ya, ia merupakan satu pelan pelaksanaan yang agresif tetapi kita mesti berusaha kerana ia perlu dilakukan segera. Kita memerlukan infrastruktur untuk terus berdaya saing di peringkat global dan kerajaan ini berhasrat untuk menyampaikannya walaupun berdepan cabaran," katanya.

Gobind juga memuji visi Dr Mahathir yang mengakui keperluan untuk terus maju dalam dunia teknologi sejak dari 1996, di mana perdana menteri melihat potensi yang besar dalam kekuatannya dan masa depan di mana kesalinghubungan, data raya dan robotik, antara lain akan menjadi bidang penting di dunia.

"Oleh itu, beliau menjadikan Malaysia sebagai model negara digital moden dengan persekitaran atau ekosistem terbaik untuk memanfaatkan potensi penuh revolusi perindustrian.

"Visi ini, yang diterjemahkan ke dalam Koridor Raya Multimedia atau MSC, terus menjadi sumber kebanggaan bagi kita rakyat Malaysia. Ia adalah lebih daripada janji teknologi, janji yang mencetuskan harapan untuk hari esok yang lebih baik untuk kita semua. Satu janji untuk kemajuan kemanusiaan," katanya.



-- BERNAMA 

Powered by Blogger.