10 kota dunia yang melarang penggunaan plastik


Banyak pihak yang merungut apabila kerajaan melarang penggunaan plastik termasuk penyedut minuman atau straw. Tetapi kesedaran itu bukan yang pertama di dunia kerana banyak bandar raya lain di dunia menguatkuasakan larangan tersebut jauh lebih awal lagi.

Walaupun ditentang oleh sesetengah pihak, namun aktivitis alam sekitar menganggap saranan kerajaan yang tegas sehingga bakal mengenakan denda serta menarik balik lesen perniagaan merupakan satu permulaan yang mulia ke arah ‘negara hijau’.

Malaysia menyasar menghapuskan penggunaan plastik menjelang 2030 dan salah satu langkah awal ialah memperkenalkan caj untuk beg plastik.

Sebagai pengeksport plastik keempat terbesar di Asean dan menduduki tempat ke-25 dalam eksport plastik global pada tahun 2017, Malaysia menduduki tempat kelapan di peringkat antarabangsa dalam pengurusan sisa plastik yang tidak betul. 

Jadi masanya sudah tiba untuk seluruh rakyat Malaysia mengalamatkan masalah itu dan mencari jalan penyelesaian yang lebih tegas.

Sebenarnya banyak bandar raya atau wilayah di beberapa negara dunia yang mengamalkan larangan plastik dan FMT Ohsem menyenaraikan lokasi dan kejayaan larangan tersebut untuk pengetahuan anda;

1. Perancis

Beberapa tahun lalu berita pengharaman penggunaan plastik oleh kerajaan Perancis terhadap penggunaan cawan plastik, pinggan dan peralatan makanan mendapat perhatian dunia.

Dasar ini adalah sebahagian daripada Peralihan Tenaga 2015 bagi mewartakan Akta Pertumbuhan Hijau di negara terbabit. Namun larangan itu bukan pengharaman drastik, tapi mensasarkan pada tahun 2020, semua produk pinggan mangkuk plastik akan dihasilkan dengan 50% bahan mudah terurai.

2. California

Mikroplastik merupakan bahan plastik dalam bentuk yang amat halus biasanya digunakan pada produk rawatan wajah seperti topeng muka, pencuci muka, ubat gigi dan juga sabun. Saiznya yang amat kecil ini menjadikan ia sukar untuk ditapis semasa proses pembersihan air sebelum dilepaskan ke laut.

Ekoran itu satu kempen besar-besaran ditandatangani di peringkat antarabangsa dan California menjadi wilayah pertama mengharamkan penggunaan produk tersebut pada 2015. Semua semua bahan yang menghasilkan mikroplastik ini tidak lagi digunakan menjelang 2020.

3. Afrika

Beberapa bandar besar di benua Afrika seperti Uganda, Somalia, Rwanda, Botswana, Kenya dan Ethiopia telah membuat larangan pengguan bag plastik sejak 2003. Sesiapa yang melanggar larangan itu akan didenda 100,000 rand (RM30,000) atau dikenakan hukuman penjara 10 tahun di Afrika Selatan.

4. Uttar Pradesh, India

Uttar Pradesh merupakan negeri pertama di India yang mengumumkan larangan penggunaan cawan plastik dan polythene bermula 15 Julai tahun lalu.

Larangan itu merupakan cubaan ketiga kerajaan Uttar Pradesh selepas 2 cubaan sebelum ini sejak 2015 gagal kerana pihak berkuasa tempatan enggan melaksanakannya. Namun Perdana Menteri India, Narenda Modi telah berikrar untuk memastikan India bebas plastik menjelang 2022.

5. Bangladesh

Bangladesh memperkenalkan larangan ketat penggunaan plastik kesan daripada bencana banjir teruk yang melanda negara tersebut sepanjang 1988 hingga 1998 menyebabkan 2 per 3 daripada negaranya di penuhi sampah. Keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa meletakkan syarat untuk melarang penggunaan bahan yang diperbuat daripada plastik.

6. Monaco

Monaco sebuah negara kecil di tengah-tengah Perancis, tetapi, usaha besarnya untuk persekitaran bebas plastik dimulakan seawal tahun 2017. Ia membabitkan plastik yang tidak terbiodegradasi serta beg plastik yang tidak terdiri daripada lebih 30% bahan berasaskan biodegradasi.

Menjelang tahun 2025, Monaco mahu semua pengguna di negara terbabit menghentikan penggunaan beg plastik.

7. Australia

Beberapa negeri di Australia melarang penggunaan plastik, bermula di Queensland dan Australia Barat sejak 10 tahun lalu dan kini beberapa wilayah lain antaranya Tasmania, Australia utara juga ke arah melarang penggunaan plastik.

8. Indonesia

Bali menjadi wilayah pertama melarang penggunaan plastik, walaupun kawasan tersebut menjadi pusat pelancongan utama yang membawa pertumbuhan ekonomi negara terbabit.
Kini arahan larangan turut diikuti di Bogor dan Banjarmasin.

9. Kanada

Sejak 2016, Kanada melarang penggunaan plastik, bukan itu sahaja tetapi turut mengharamkan aktiviti import melibatkan bahan plastik.

10.Taiwan

Menjelang 2013, Taiwan mensasar menjadi negara bebas sampah dan langkah permulaanya adalah dengan mengharamkan penggunaan bahan plastik di restoran termasuk penggunaan pembungkus makanan dan peralatan makanan yang berasaskan plastik.

Jelas, kebanyakan negara sudah mempunyai kesedaran mengenai bahaya penggunaan bahan plastik namun ada dalam kalangan kita yang masih ‘angkuh’ dan enggan bekerjasama dalam kempen kerajaan mesra alam ini.
Powered by Blogger.