Polis tahan 62 PATI dalam operasi bersepadu di ibu negara


Seramai 62 warga asing termasuk 13 warga Afrika ditahan dalam operasi bersepadu selama kira-kira 10 jam bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) di beberapa kawasan tumpuan di sekitar ibu negara. 

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata operasi yang bermula pada pukul 9.30 Jumaat malam hingga 7 pagi semalam melibatkan beberapa lokasi iaitu Changkat Bukit Bintang,  Endah Promenade Sri Petaling,  Cheras, Setapak, Metro Prima Kepong dan Kampung Baru, Kuala Lumpur. 

Katanya, seramai 136 pendatang asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 13 warga Afrika ditahan terdiri daripada enam lelaki dan tujuh wanita masing-masing dari Zambia, Kenya, Uganda dan Somalia.

"Turut ditahan 49 warga asing dari Bangladesh, Myanmar, Vietnam, Pakistan, India, Nepal, Laos dan Thailand. Tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah, serta akta berkaitan.

Tangkapan dibawa ke Lokap Cheras dan Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Mazlan, operasi tersebut membabitkan 177 pegawai kanan dan anggota polis Kuala Lumpur dengan kerjasama lima pegawai serta anggota Jabatan Imigresen Malaysia.

Beliau berkata pihaknya memandang serius isu kebanjiran warga Afrika di negara ini dan akan meneruskan operasi seumpama itu bertujuan membanteras permasalahan itu yang turut menyumbang ke arah kejadian jenayah.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi talian utama Polis Kuala Lumpur melalui talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. - BERNAMA
Powered by Blogger.