Sektor swasta perlu balas sokongan kerajaan - PM
Sektor swasta perlu membalas semula sokongan dan dorongan daripada kerajaan dengan tidak hanya beroperasi untuk memperoleh keuntungan semata-mata sebaliknya mencari jalan untuk menyumbang kepada negara ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, kerajaan percaya perkembangan dan kejayaan berterusan industri dan syarikat di Malaysia juga disumbangkan oleh suasana kondusif untuk pertumbuhan dan pengembangan yang ditawarkan negara ini.
“Amat menyeronokkan untuk melihat perkembangan dan kejayaan berterusan industri dan syarikat di Malaysia. Walaupun ia mencerminkan kecekapan dan kebolehan syarikat ini dan kejayaan pasukan pengurusannya, kami juga percaya bahawa pencapaian sedemikian boleh dicapai kerana Malaysia menyediakan suasana kondusif untuk pertumbuhan dan pengembangan.
“Pun begitu, ia tidak bermakna kita mahu mengambil kredit daripada syarikat ini kerana kami tidak sangsi dengan berapa banyak usaha yang dicurahkan untuk mencapai tahap ini.
“Apa yang ingin saya katakan ialah kerajaan percaya dengan hubungan baik dan mesra dengan sektor swasta. Kita pernah meletakkannya bawah tanda Malaysia Diperbadankan (Malaysia Incorporated) iaitu kerajaan menggalakkan pembangunan dan kejayaan sektor swasta, dengan menyedari bahawa kami memperolehi sebahagian daripada keuntungan melalui percukaian.” - Berita Harian
Post a Comment