Polis tembak tayar kereta bawa dadah


Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang disyaki membawa dadah di Jalan Sentul, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.25 petang itu, Proton Saga dipandu suspek berusia 38 tahun itu pada mulanya diekori kenderaan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata suspek yang menyedari perkara itu bertindak agresif selepas anggota polis memperkenalkan diri dan memintanya keluar daripada kereta.

"Suspek cuba melepaskan diri dengan mengundurkan kereta tiga kali sehingga merempuh kereta polis, memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan pada bahagian tayar belakang dan tayar hadapan di bahagian kanan kereta.

"Selain mempertahankan diri, tindakan itu terpaksa diambil untuk memberhentikan kenderaan berkenaan supaya tidak membahayakan keselamatan awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, suspek yang masih cuba melarikan diri dengan memandu kereta ke atas tebing di tepi jalan berdekatan memaksa polis melepaskan tembakan pada tayar hadapan sebelah kiri kereta, sekali gus memberhentikan kenderaan itu dan menahan suspek.

Mazlan berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan menemui dadah jenis heroin 450 gram dan 151 gram syabu dan ujian saringan air kencing mengesahkan suspek positif Methamphetamine, Amphetamine dan THC.

"Suspek yang mempunyai lima rekod jenayah berkaitan dadah itu akan dibawa untuk permohonan reman esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Powered by Blogger.