LTdL 2019 sudah bersedia
Berbaki lima hari menjelang saingan jelajah berbasikal terbesar di rantau Asia Tenggara, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019, persiapan yang kini memasuki fasa akhir berjalan mengikut perancangan.
Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2019, Datuk Ahmad Mustafa berkata pihak penganjur, Human Voyage Sdn Bhd sudah bersedia untuk menerima kehadiran pasukan.
“Daripada segi persediaan kita untuk menganjurkan perlumbaan ini, kita sudah bersedia untuk menguruskan perlumbaan ini sebaik mungkin.
“Untuk makluman, pelumba akan mula datang secara berperingkat bermula Rabu ini sehingga Jumaat,” katanya pada sidang media pengumuman penutupan jalan raya di sekitar Pulau Pinang sempena perlumbaan terbabit.
Pulau Pinang akan menjadi hos bagi perlumbaan peringkat keenam yang akan bermula dari perkarangan Dewan Dato Ahmad Badawi, Bagan menuju ke Alor Setar, Kedah membabitkan jarak perlumbaan sejauh 130.8 kilometer pada 11 April ini.
Sementara itu, Exco Belia dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee nyata gembira dengan pemilihan negeri itu sebagai salah satu daripada laluan yang terdapat dalam saingan jelajah berstatus 2.HC edisi ke-24 tahun ini.
“Pihak kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana memilih negeri ini sebagai salah satu lokasi bagi kejohanan yang berprestij sekaligus menjadikan Pulau Pinang tumpuan bagi peminat sukan seluruh dunia,” kata Soon.
Pada masa sama, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis diRaja Malaysia (PDRM) IPK Pulau Pinang, Deputi Superintendan Zafri Zolkapli menjelaskan kerjasama antara PDRM di Pulau Pinang dan agensi lain akan diterapkan bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan perlumbaan peringkat keenam ketika itu.
“Kita ada bantuan daripada unit trafik dari seluruh Pulau Pinang dan jumlah dianggarkan 200 orang, tidak termasuk daripada agensi lain seperti Jabatan Pertahanan Awam dan RELA,” kata Zafri.
Penutupan laluan bermula jam 12.00 tengah malam pada 11 April melibatkan laluan di perkarangan Dewan Dato Ahmad Badawi.
Manakala penutupan laluan secara berperingkat akan mula dilaksanakan melibatkan 12 laluan antara Bagan Ajam, Telok Air Tawar, Titi Mukim, Permatang Pak Elong dan Permatang Sintok. - Berita Harian
Post a Comment