2 produk kosmetik mengandungi racun berjadual


Orang ramai dinasihatkan jangan membeli dan menghentikan penggunaan dua produk kosmetik yang dikesan mempunyai racun berjadual iaitu diphenhydramine.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dua produk berkenaan adalah Bao Fu Ling Snow Lotus Cream 15 gram keluaran syarikat Bao Fu Ling Global Enterprise Sdn Bhd dan Bao Fu Ling Skincare Cream keluaran AMG Wellness Sdn Bhd.

Katanya, mereka yang menggunakannya diminta segera mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan.

Beliau menjelaskan notifikasi produk kosmetik terbabit sudah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan berikutan pengesanan bahan racun berjadual dalam produk berkenaan.

Katanya, produk yang mengandungi diphenhydramine adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan digunakan untuk memberikan kelegaan sementara bagi kegatalan dan kesakitan akibat gigitan serangga, selaran matahari yang ringan serta kerengsaan kulit.

“Penggunaan diphenhydramine tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh mengakibatkan bahagian kulit yang disapu menjadi lebih sensitif kepada cahaya matahari dan boleh menyebabkan kesan alahan teruk,” katanya.

Beliau berkata penjual dan pengedar produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta.

“Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Katanya, sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh die-mel kepada kosmetik@npra.gov.my.

“Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://www.npra.gov.my,” katanya. - Berita Harian
Powered by Blogger.