Kerajaan hanya terima perkara baik daripada perjanjian antarabangsa - Dr Mahathir


Kerajaan hanya akan menerima perkara yang baik dan sesuai di negara sekiranya menandatangani Statut Rom dan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata terdapat beberapa perkara Statut Rom yang beberapa negara lain menyertainya tetapi tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana melanggar norma kehidupan rakyat seperti kebebasan sepenuhnya.

“Mereka amalkan perkahwinan sejenis iaitu lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan.

“Tindakan seperti itu tidak boleh diterima oleh kita. Justeru, kita hanya terima yang baik sahaja dan tolak nilai ‘aneh’,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Sayangi Sawitku, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kelmarin bahawa tindakan kerajaan menandatangani Statut Rom dan meratifikasi ICERD adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah, itu kerana ia menyentuh kuasa Raja-Raja dan keistimewaan orang Melayu serta kemuliaan Agama Islam di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, Datuk Seri Ronald Kiandee masih kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sehingga calon pengganti sesuai dikenal pasti.

Beliau ditanya sama ada Ahli Parlimen Beluran yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu akan diganti selepas ahli PAC lain mendesak agar Kiandee melepaskan jawatan itu.

"Ini bukan berkaitan perundangan tetapi janji parti (Pakatan Harapan). Kita boleh buat bila-bila masa (ganti Pengerusi PAC). Bukan satu keperluan (ganti Ronald bila berlakunya sesuatu perkara kita nak gantikannya," katanya.
Powered by Blogger.