EU sekat minyak kelapa sawit, Malaysia sedia bertindak balas - PM


Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan mungkin bertindak balas dengan menghentikan pengimportan barang tertentu dari Eropah jika mereka masih meneruskan sikap tidak adil dan diskriminasi terhadap minyak sawit Malaysia.

Perdana Menteri berkata, perkara itu akan dilakukan kerana Eropah dengan secara tidak adil menyekat kemasukan minyak kelapa sawit negara.

Beliau menegaskan, sekatan terhadap minyak sawit dilakukan bagi menjaga kekayaan ekonomi Kesatuan Eropah (EU), sebagaimana negara Eropah menyekat kemasukan teknologi dari China.

“Kita mungkin terpaksa membalas balik. Jika mereka (EU) tidak membeli minyak kita, kita pun tak payahlah beli barangan mereka (EU),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Kempen Sayangi Sawitku dan pada sidang medianya selepas itu di Ladang East Sime Darby Plantations di Pulau Carey, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Industri Utama, Teresa Kok; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Perdana Menteri berkata, Malaysia bukan mahu melancarkan ‘perang’ terhadap barangan dari Eropah kerana masih ada produk dari kesatuan itu yang perlu dibawa masuk, namun ada beberapa barang tertentu akan dibeli dari negara lain kerana Malaysia mempunyai banyak pilihan.

“Kalau kita terpaksa beli pesawat pejuang, kita terpaksalah ambil kira juga pesawat pejuang buatan China. Saya fikir teknologi mereka (China) tidak kurang. Bahkan teknologi China melebihi teknologi Barat sehingga Barat menjadi takut dan tidak benarkan teknologi China masuk ke negara mereka,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau baru pulang dari Pakistan dan ketika di sana menyaksikan pesawat pejuang buatan China yang menyertai pertunjukan aerobatik dan sangat mengagumkan.

“Untuk melindungi kekayaan ekonomi mereka (EU), mereka menyekat kemasukan minyak sawit. Mereka sekat kemasukan barangan buatan China, tetapi jika mereka berbuat demikian dan kita akan rugi kerana minyak sawit kita tidak dapat terjual, maka kita akan beli pesawat dari China,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau juga bukan mengambil sikap mempromosi barangan dari China, sebaliknya ia bertujuan menolak barangan dari negara Eropah.

“Ini bukan promosi barangan China. Ini menolak barangan dari Eropah yang memiskinkan kita. Ini (mengurangkan import barang dari Eropah) bukan boleh dibuat secara tergesa-gesa. Kita kena kaji kesan. Jika kita dapati kesannya baik kita ambil tindakan,” katanya. - Berita Harian

Powered by Blogger.