Kolaborasi penting untuk wujudkan lebih banyak peluang buat ekonomi kreatif


Kolaborasi antara pelbagai kementerian dan pemegang taruh adalah prasyarat penting bagi mewujudkan lebih banyak peluang kepada ekonomi kreatif, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.


Beliau memberi contoh penubuhan Pasukan Petugas Industri Kreatif Negara yang dipengerusikan bersama oleh beliau dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, yang disasar membangunkan ekosistem global, menyeluruh dan futuristik, bagi industri kreatif negara.


“Pasukan petugas ini wujud sebagai platform pusat atau badan induk negara untuk industri kreatif, dan menjadi sebahagian daripada agenda pertumbuhan negara,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di forum ‘Malaysia's Adoption of the United Nations International Year on Creative Economy for Sustainable Development 2021’.


Forum anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia, negara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Malaysia, Singapura dan Brunei), serta MyCreative Ventures itu disiarkan menerusi penstriman secara langsung di laman Facebook kementerian hari ini.


Turut serta dalam sesi itu adalah ketua setiausaha kementerian Datuk Suriani Ahmad dan Koordinator Residen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Stefan Priesner.


Saifuddin berkata kementeriannya juga akan turut bekerjasama rapat dengan Kemeterian Luar serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi memupuk dan menggalakkan industri kandungan kreatif yang kompetetif yang mencapai standard global, di samping bersiap sedia untuk menghadapi persaingan antarabangsa yang mendadak dalam bidang ini di tahun-tahun yang akan datang.


Dalam berkongsi pengalaman Malaysia menangani pandemik Covid-19, beliau berkata selain Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan pakej rangsangan diperkenalkan oleh kerajaan, MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) telah memainkan peranan penting dalam menyediakan pinjaman mudah, dan membantu pemain industri kreatif.


“Ada juga agensi-agendi yang menganjurkan pelbagai aktiviti seperti program nyanyian yang membolehkan penyanyi beraksi dari rumah, dan disiarkan di kaca televisyen, dan penyanyi itu dibayar dalam bentuk seperti honorarium.


“Kita juga sudah mula membenarkan petugas perfileman untuk memulakan penggambaran dengan porsedur operasi standard (SOP) yang ketat, dan kita harap sebaik sahaja pandemik ini berakhir, segalanya akan menjadi lebih aktif, dan banyak yang boleh dilakukan,” katanya.


-- BERNAMA

Powered by Blogger.