Polis cari saksi kemalangan maut anggota bomba


Polis memohon bantuan orang awam bagi mengesan pemandu lori terbabit dalam kemalangan langgar lari dengan motosikal mengakibatkan penunggangnya maut.


Mangsa dikenali sebagai Anuar Harun yang juga Ketua Zon Daerah Petaling Bomba Selangor berusia 42 tahun itu, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sekitar Jalan Puchong-Dengkil, sebelum Jejambat Batu 14 Jalan Puchong, dekat sini, jam 1.44 tengah hari semalam. 


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata dalam kejadian itu, motosikal Anuar dipercayai bergesel dengan lori itu sebelum mangsa digilis kenderaan berkenaan.


"Mangsa parah di kepala dan disahkan maut. Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.


"Butiran pemandu lori itu yang melarikan diri ke arah Sunway masih belum diketahui.


"Setakat ini, pemandu berkenaan masih tidak membuat laporan polis berhubung kemalangan itu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Inspektor Hamdan Jeramatin di talian, 0194642222. - Berita Harian

Powered by Blogger.