Lelaki maut kemalangan motosikal


Lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kilometer 3 Kampung Cina - Seri Manjung dekat Manjung, hari ini.

Dalam kejadian pada 3.25 petang itu, mangsa, Amirul Aliff Aris, 30, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala seorang lagi penunggang cedera.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata mangsa yang maut menunggang dari arah Sitiawan menghala ke Seri Manjung.

Menurutnya, seorang lagi lelaki penunggang pula dari pekan Seri Manjung menghala ke Fasa 2H, Seri Manjung dan kedua-dua mereka berada di laluan yang sama.

"Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai motosikal mangsa bergesel dengan motosikal lain yang disyaki mengubah lorong dengan mengejut dan menyebabkan kedua-dua penunggang jatuh di atas jalan.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi penunggang motosikal berusia 18 tahun cedera di kaki dan tangan kiri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, ketika kejadian berlaku mangsa yang juga pekerja swasta dalam perjalanan menghantar daging tempahan pelanggannya yang dilakukannya secara sambilan.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk proses bedah Siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sumber: Berita Harian
Powered by Blogger.