Kanak-kanak lemas terjatuh sungai


Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui lemas, selepas terjatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan arus petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Muhammad Danish Iskandar Abdul Muizz dari Kampung Kuala Kedua, Siong, dikatakan bermain di depan rumah bersama ibu dan adiknya yang berusia setahun.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Syed Basri Syed Ali, berkata bagaimanapun ibunya masuk ke dalam rumah sebentar dan meninggalkan kedua-dua anaknya bermain di halaman.

"Ahli keluarga kemudian menyedari tidak melihat mangsa dan hanya mendapati adik mangsa bermain berseorangan di hadapan rumah.

"Keluarga mangsa cuba mencarinya di belakang rumah dan menjumpai selipar yang dipakai mangsa di tepi sungai kira-kira dua meter dari tebing.

"Ketika kejadian Masa air sungai agak deras berikutan cuaca hujan lebat sejak beberapa hari ini," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Syed Basri berkata, ahli keluarga kemudian memaklumkan kejadian kepada polis sebelum usaha mencarinya dilakukan pihak berkuasa bersama penduduk kampung.

"Mayat mangsa kemudian ditemui terapung di Sungai Lubuk Badak, Kuala Kedua, oleh penduduk Orang Asli Lubuk Legong.

"Mangsa dijumpai kira-kira dua kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kes terbabit.

Sumber: Berita Harian
Powered by Blogger.