Penguat kuasa dipasang kamera badan elak salah laku - PM
Penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan dilaksanakan bagi menangani salah laku, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) bersetuju melaksana pendekatan itu bagi memperkasa kecekapan dan integriti pegawai penguat kuasa berikutan aduan salah laku individu yang berurusan atau yang disiasat, termasuk dakwaan dipukul.
Katanya, cadangan lain termasuk mewujudkan pusat kawalan setempat, menaik taraf pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di pintu masuk negara dan penjara, menambah mesin pengimbas berteknologi kecerdasan buatan serta Alat Bantuan Operasi (ABO).
“Penggunaan kamera badan ini membolehkan setiap perbuatan dan percakapan pegawai dirakam, sekali gus boleh mengelak salah laku seperti dakwaan pelanggan dipukul. Jadi, dengan adanya kamera ini kita boleh tahu dakwaan itu berasas atau tidak.
“Penggunaan kamera badan dan CCTV ini yang menjadi keutamaan akan dilaksanakan apabila kerajaan mempunyai sumber kewangan mencukupi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JKKMAR di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, usaha memperkasa dan meningkatkan ketelusan pegawai penguat kuasa itu penting kerana negara mengalami kebocoran hasil antara RM3 bilion dan RM5 bilion setahun di pintu keluar masuk akibat masalah integriti pegawai dan kekurangan peralatan teknologi terkini.
“Usaha ini juga selaras janji kerajaan hari ini untuk menjadikan pasukan penguat kuasa dan keselamatan, khususnya PDRM sebagai pasukan dihormati dan disegani,” katanya.
Dr Mahathir berkata, kerajaan juga akan melaksanakan pergerakan kakitangan awam ke tempat yang lebih penting bagi mengimbangi keperluan agensi penguat kuasa seperti JKDM, PDRM dan Imigresen yang memerlukan penambahan anggota.
Beliau berkata, kemasukan pelancong asing ke Malaysia semakin meningkat dan urusan itu memerlukan kakitangan tambahan dan kelengkapan teknologi.
“Kerajaan ketika ini tidak dapat membuat pengambilan baharu biarpun ada permintaan agensi tertentu, berikutan jumlah kakitangan awam sebanyak 1.7 juta sudah cukup besar.
“Kita tiada kewangan yang mencukupi untuk membuat pengambilan baharu jadi kita akan pindah pegawai atau kakitangan ke tugas penting,” katanya.
Mengenai Belanjawan 2020, Dr Mahathir berkata kerajaan akan memastikan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara berintegriti tinggi dan pentadbiran yang baik terus dilaksanakan melalui inisiatif dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP). - BERITA HARIAN
Post a Comment