Masyarakat membaca asas pembentukan negara inovatif, berdaya maju


Membangunkan masyarakat yang mempunyai tabiat membaca adalah asas dalam pembentukan sebuah negara yang inovatif, kreatif dan berdaya maju, kata Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Sangeeta Kaur Sidhu.

Beliau berkata dalam mencapai hasrat tersebut peranan ibu bapa adalah perlu dalam memberi pendedahan dan pengajaran kepada anak-anak agar tabiat membaca dapat dipupuk dari seawal usia.

Sangeeta yang juga isteri kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata perkara tersebut adalah penting memandangkan ‘sekolah pertama’ bagi anak-anak adalah di rumah.

“Kajian juga telah menunjukkan bahawa memupuk tabiat dan minat membaca banyak bergantung pada pengalaman membaca di rumah,” katanya pada Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2019 anjuran Pusat Sumber KKMM serta jabatan dan agensi kementerian di sini hari ini.

Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2019 merupakan program galakan membaca yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April setiap tahun untuk menggalak pembacaan, penerbitan dan perlindungan harta intelek hak cipta.

Pada program itu juga, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd memberi sumbangan buku kepada sekolah-sekolah terpilih di sekitar Putrajaya. -- BERNAMA
Powered by Blogger.