Pelaku gangguan seksual pasang "kabel", sukar dikenakan tindakan
Semua jabatan kerajaan dan swasta perlu menubuhkan badan siasatan bebas bagi memastikan kes membabitkan gangguan dan serangan seksual terhadap pekerjanya mendapat pembelaan sewajarnya.
Penyelaras Program Pengajian Gender, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Dr Lai Suat Yan, berkata badan siasatan bebas itu perlu dianggotai pakar gender, perundangan dan psikologi.
Katanya, sudah sampai masanya negara ini mempunyai Akta Gangguan Seksual yang memperuntukkan badan atau tribunal bebas untuk menyiasat kes berkaitannya supaya mangsa mendapat keadilan dengan lebih cepat.
“Ia dilihat lebih telus memandangkan ada kes gangguan dilakukan majikan dan pihak yang berjawatan tinggi di sesebuah organisasi atau mereka yang mempunyai 'kabel' dengan pihak pengurusan.
“Apabila situasi ini berlaku, terdapat kecenderungan menyebabkan berlakunya ketidakadilan kepada mangsa berikutan tiada saluran untuk bersuara atau takut membuat aduan kepada Jabatan Sumber Manusia di organisasi masing-masing,” katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.
Majikan perlu bertanggungjawab
Suat Yan berkata, kepentingan akta berkenaan adalah bagi memastikan majikan dipertanggungjawabkan untuk menggubal polisi dan menubuhkan mekanisme bagi menangani gangguan seksual.
Jika tidak berbuat demikian, langkah pencegahan atau mengabaikan laporan gangguan seksual yang diterima, organisasi juga boleh didakwa dan bukan hanya pemangsa.
"Jadi majikan perlu mempunyai tanggungjawab untuk memastikan suasana persekitaran kerja yang kondusif, sihat dan selamat," katanya.
Suat Yan tidak menafikan ada ramai wanita yang mendiamkan diri dan tidak mahu bersuara meskipun sering menjadi mangsa gangguan seksual.
Malah, perasaan malu yang menebal dalam diri, budaya memandang remeh kes gangguan seksual, rasa laporan tidak diambil tindakan dan percaya mampu menanganinya sendiri menjadi kes sedemikian dibiarkan begitu saja.
“Kes gangguan seksual di tempat kerja membabitkan semua pihak. Ada golongan profesional juga melakukan gangguan seksual ke atas pekerja lain. Apabila ia berlaku, mangsa sebagai pekerja ada hak untuk melaporkan kepada Jabatan Sumber Manusia dan kepada pihak berkuasa seperti polis.
“Gangguan seksual sebenarnya boleh di atasi apabila sesebuah institusi dilihat mengambil langkah tegas menangani isu itu dan menggalakkan mangsa membuat aduan.
“Bayangkan jika atas alasan menjaga baik nama organisasi atau cubaan untuk menutup kes atau hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan akan menyebabkan mangsa lain lebih takut atau merasakan tidak makna untuk tampil ke depan," katanya.
Banyakkan pakar gender
Bukan itu sahaja, kes gangguan seksual itu akan terus berlaku dan yang menjadi mangsa juga semakin meningkat berikutan tiada tindakan diambil daripada pihak majikan.
“Majikan seharusnya memaklumkan kepada pekerja yang ada polisi yang boleh diguna pakai sekiranya mereka menjadi mangsa gangguan seksual,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan, kempen kesedaran gender perlu diperhebatkan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mahupun individu berkaitan kes terbabit.
“Sebelum menyiasat kes keganasan seksual ini, kita berharap mereka yang terbabit ini sudah diberi pendedahan dan pengetahuan berkenaan apa itu gangguan seksual dengan menyertai program latihan kepekaan gender dan latihan kepekaan kepada dinamik gangguan seksual ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berharap lebih banyak pakar gender tempatan dilahirkan di negara ini, selain menumpukan perhatian terhadap kes terbabit yang lazimnya wanita menjadi sasaran utama.
“Kita harap kerajaan memberi sokongan berkaitannya menambah bilangan pakar gender di negara ini.
“Setakat ini, UM hanya mempunyai lima pakar gender dan bagaimana kita mahu mengarus perdanakan gender dalam semua bidang di negara ini jika bilangan pakar tidak ramai?” katanya.
Rancangan Pengajian Gender
Beliau berkata, setakat ini UM sahaja menyediakan Rancangan Pengajian Gender yang menawarkan kursus secara sistematik untuk pengkhususan minor di peringkat sarjana muda.
“Kita juga menjalankan program latihan kesedaran gender dan memberikan input di peringkat polisi dari semasa ke semasa. “Situasi hari ini memperlihatkan penekanan lebih diberikan dalam bidang Sains dan Teknologi tetapi tidak dalam kursus Sains Kemanusiaan sedangkan bidang kemanusiaan ini penting terutama dalam menangani isu seperti gangguan seksual, keganasan rumah tangga, perkahwinan kanak-kanak,” katanya. - Berita Harian
Post a Comment