Seramai 841 rakyat Malaysia terkandas di 20 Negara - Wisma Putra


Setakat ini seramai 841 warga Malaysia dilaporkan terkandas di 20 negara berikutan penguatkuasaan peraturan kawalan atau sekatan perjalanan oleh pelbagai negara sebagai langkah kawalan wabak COVID-19.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata semua rakyat Malaysia yang terkandas itu telah diberikan bantuan konsular oleh Perwakilan Malaysia di luar negara meliputi nasihat berkenaan urusan penginapan seme ntara, laluan penerbangan alternatif dan bantuan lain yang berkaitan.

"Kementerian seterusnya ingin memaklumkan bahawa Pejabat Perwakilan yang terlibat telah berjaya membantu memudah cara urusan pulang bagi sejumlah 116 rakyat Malaysia ke tanah air iaitu 113 dari Maghribi dan tiga dari Maldives.

"Sepertimana yang telah dinyatakan oleh Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada pagi ini, Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia tidak menghalang kemasukan rakyat Malaysia dari luar negara sepanjang tempoh penguatkuasaan perintah ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kamarudin yang juga merangkap Pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Kementerian Luar Negeri berkata rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara diminta untuk terus bertenang dan menghubungi Perwakilan Malaysia yang berkenaan.

Rakyat Malaysia di luar negara juga disaran supaya mendaftarkan diri di Perwakilan Malaysia yang terdekat.

Senarai rakyat Malaysia yang terkandas adalah India (274); Uzbekistan (209);  Maghribi (160);  Mesir (43); Arab Saudi (28); Bangladesh (26); Sweden (26); Sepanyol (19); Austria (11); Montenegro (lapan) Finland (lapan);  Ukraine (tujuh) ; Switzerland (lima); Norway (lima); Maldives (empat); Poland (tiga); Hungary (dua); Lithuania (satu); Panama (satu); Ecuador (satu).

-- BERNAMA
Powered by Blogger.