Pelaksanaan 5G: Proses Penguntukan Melalui Tender - MCMC
Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti jalur spektrum 700MHz, 3.5GHz
dan 26/28 Ghz sebagai spektrum perintis bagi pelaksanaan 5G di Malaysia,
berikutan perkembangan ekosistem dan pelaksanaan 5G yang pesat di seluruh
negara.
MCMC dalam satu kenyataan hari
ini menyatakan mereka sedang mempertimbangkan pendekatan di mana peruntukan
jalur-jalur spektrum 700 MHz dan 3.5Ghz dibuat kepada satu konsortium yang
terdiri daripada beberapa pemegang lesen dan bukannya kepada pemegang lesen
individu tertentu.
“Bagi tujuan ini, MCMC akan
melaksanakan proses tender. Pendekatan ini adalah untuk mengurangkan
perbelanjaan modal dengan meminimumkan kos dan mengelakkan pertindihan
infrastruktur, sementara penambahbaikan rangkaian 4G masih berjalan,” tambah
kenyataan tersebut.
MCMC menyatakan, memandangkan ini
adalah pendekatan baharu, MCMC hanya akan memperuntukkan 2x30 MHz bagi jalur
spektrum 700 MHz dan 100 MHz bagi jalur spektrum 3.5 GHz. Frekuensi selebih
akan dipertimbangkan pada peringkat seterusnya.
Penguntukan bagi jalur spektrum
26/28 GHz akan dilakukan melalui dua kaedah. Frekuensi 24.9 GHz hingga 26.5 GHz
akan diperuntukkan melalui proses tender kepada pemegang lesen untuk penggunaan
seluruh negara. Manakala, frekuensi 26.5 GHz hingga 28.1 GHz akan diperuntukkan
secara ‘first-come first-served’ dan dibuka kepada mana-mana pihak (termasuk
bukan pemegang lesen) bertujuan untuk penggunaan kawasan setempat dan/atau
rangkaian persendirian, menurut kenyataan itu.
“Penguntukan bagi jalur-jalur
spektrum yang disebut di atas adalah dibuat melalui penguntukan radas
(Apparatus Assignment) atau AA. MCMC menganggap fi spektrum melalui AA adalah
lebih menjimatkan dan akan menggalakan pelaksanaan oleh penyedia-penyedia
perkhidmatan. Dengan penjimatan ini, perniagaan dan pengguna akan mendapat
manfaat dan menikmati perkhidmatan yang berkualiti pada harga yang lebih
berpatutan.
Kenyataan itu menyatakan, MCMC
menjangkakan pengkomersialan 5G di Malaysia akan bermula pada suku ketiga 2020,
apabila selesainya proses penguntukan tersebut.
“Ini adalah selari dengan
perbincangan oleh Petugas Khas 5G Negara yang telah ditubuhkan sejak November
2018 dan dianggotai sebanyak 114 organisasi daripada sektor swasta, kementerian
dan agensi mewakili bahagian bekalan dan permintaan dalam ekosistem tersebut,”
menurut kenyataan tersebut. - BERNAMA
Post a Comment