Ibu bapa Beri Reaksi Positif Penggunaan CRS
Penggunaan Kerusi Keselamatan
Kanak-kanak (CRS) di dalam kenderaan persendirian yang diwajibkan bermula hari
ini, mendapat reaksi positif daripada ibu-bapa, kerana kepentingannya dari segi
keselamatan anak-anak.
Namun, mereka turut berharap
kerajaan dapat memperkenalkan insentif tertentu bagi pembelian kerusi
berkenaan, selain mengawal harga supaya tidak membebankan pengguna, khususnya
mereka yang berpendapatan rendah.
Seorang pekerja swasta, Mohd Afif
Zahri, 30, dari Jitra, Kedah berkata beliau telah menggunakan CRS sejak 2015,
dan ia mampu mendisiplinkan anaknya daripada mengganggu pemanduannya.
“Saya mengajar anak menggunakan
kerusi ini sejak umur setahun lebih, apabila nak keluar pagi tadi ke tadika,
tanpa disuruh anak saya sudah duduk di kerusi ini kerana sudah terbiasa dari
kecil,” katanya ketika ditemui Bernama, semalam.
Bapa kepada dua orang anak,
Zabidi Zolkefli, 34, dari Kangar, Perlis berkata beliau membeli CRS sejak tiga
tahun lepas dengan harga RM200, bagi kegunaan anak pertamanya yang kini berusia
enam tahun.
“Bagi saya apa yang penting
adalah keselamatan anak, duit boleh cari walaupun pendapatan saya tidak
seberapa, lagipun ia boleh digunakan oleh anak lain selepas ini,” katanya.
Beliau turut berharap kerajaan
memperkenalkan subsidi kepada ibu bapa yang mempunyai anak ramai, memandangkan
harga sebuah kerusi CRS adalah dalam lingkungan RM200 hingga RM600.
Ibu kepada tiga cahaya mata,
Zurina Abdul Karim, 30, meminta kerajaan mengawal harga kerusi tersebut,
memandangkan bukan semua ibu bapa berkemampuan untuk memilikinya.
“Dengan keadaan kos sara hidup
yang tinggi pada masa sekarang, ibu bapa yang kurang berkemampuan seperti saya,
terpaksa mendahulukan duit perbelanjaan kepada perkara lebih mendesak, seperti
susu anak, persekolahan dan kesihatan,” katanya.
Mohd Firdaus Shaari, 37, dari
Shah Alam, Selangor, pula berharap kerajaan dapat memberi sedikit pelepasan
kepada keluarga yang mempunyai anak ramai sepertinya.
"Saya harap kerajaan
longgarkan sedikit syarat kerusi keselamatan ini, bagi mereka yang hanya ada
kereta sedan seperti saya, kita perlu tukar kepada kereta pelbagai guna tujuh
tempat duduk jika hendak guna tiga kerusi keselamatan kanak-kanak," kata
bapa kepada empat anak berusia dua hingga 11 tahun itu.
Dalam pada itu, seorang
kakitangan kerajaan Nik Nur Aishah Nik Zakaria, 36, dari Kuala Terengganu
mengambil pendekatan membeli CRS ketika jualan murah, bagi kegunaan bayi
perempuannya yang berusia lapan bulan, Wan Nur Alia Farhana Wan Haiza Azuan.
“Saya membeli CRS melalui dalam
talian ketika jualan murah dengan harga hanya RM180. Sekiranya tiada jualan
murah, harga boleh mencecah RM300,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan
penggunaan CRS di dalam kenderaan persendirian, yang diwajibkan bermula hari
ini bagi menyelamatkan bayi dan kanak-kanak, daripada mengalami kecederaan
serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.
Langkah baharu itu susulan
statistik membimbangkan, iaitu 1,559 kematian dicatatkan membabitkan
kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017.
Bagaimanapun, tiada saman akan
dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal menggunakan CRS, dalam tempoh enam bulan
pertama pelaksanaan, yang bersifat mendidik terlebih dahulu. - BERNAMA
Post a Comment